PAS, kerajaan Perak dekati cendekiawan di UK

LanH-Harakah Daily
Thu | Jun 12, 08 | 10:27:42 am MYT

Cendekiawan adalah antara agen pembaharuan masyarakat paling berpengaruh. Mereka diharapkan menjadi pemimpin semasa atau masa depan. Menyedari hakikat ini, sejak akhir-akhir ini sejumlah pemimpin politik Malaysia berusaha meluaskan pengaruh di kalangan cendekiawan di luar negara.

Cendekiawan di Manchester, UK juga tidak ketinggalan dikunjungi politikus negara. Tidak lama dulu mereka menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir

Mohamad, kemudian Pengerusi UIAM (kini bekas), Sanusi Junid dan terkini Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak.

Selain itu, ada selebriti hiburan tanah air menjadikan pelajar luar negara sebagai sasaran. Artis terkenal Mawi juga sudah melakukan ‘tour’nya di Manchester.

Di celah-celah hiruk-pikuk pemimpin ternama dan artis yang disambut penuh glamor, kemunculan wakil kerajaan Perak, Haji Asmuni Awi di Manchester pada satu perjumpaan pada malam 4 Jun lalu, bagi menerangkan perkembangan terkini kerajaan Pakatan Rakyat negeri, disambut penuh kesyukuran kira-kira 30 cendekiawan (termasuk usahawan) di sekitar bandar raya tengah England ini.

Pada perjumpaan malam itu Asmuni yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak serta AJK PAS Pusat bertindak sebagai wakil MB Perak, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menjelaskan perkembangan semasa dan isu terkini termasuk yang membabitkan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri itu.

Beliau berkata banyak isu sengaja direka-reka di Perak oleh pemimpin seteru dan kemudian ibarat disimbah minyak ke atas api oleh media massa dan penyokong parti berkenaan. Bagaimanapun, katanya, berikutan kebijaksanaan Menteri Besar yang benar-benar berjiwa rakyat, perkara berkenaan dapat diredakan .

Katanya, bukan mudah bagi seorang wakil PAS yang hanya mempunyai enam kerusi DUN Perak, menerajui kepimpinan negeri tetapi kesungguhan dan semangat juang tinggi Menteri Besar berjaya mengatasi halangan tersebut.

Bagi tidak menghampakan hadirian, Asmuni kemudiannya bersedia menjawab beberapa pertanyaan, antara lain pendekatan kerajaan Pakatan Rakyat bagi memastikan kesinambungan kuasa agar usaha memaju dan memakmurkan rakyat dapat diteruskan.

Paling menarik apabila beliau memberitahu kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan sekali-kali mengamalkan politik balas dendam kerana hal ini memang tiada dalam agendanya.

Kata Asmuni perkara itu dapat dilihat berdasarkan pendekatan kerajaan negeri dalam isu seperti pelantikan ketua kampung dan AJK masjid.

Menurutnya, rakyat kini bijak dan mahu melihat sebuah kerajaan telus dan sehubungan itu tiada apa yang wajar disembunyikan daripada mereka. Katanya, ketelusan penting kerana rakyat akan menghakimi mereka pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata Perak berjaya menarik pelaburan asing yang besar dan tidak membuat penafian apabila seorang hadirin menyatakan beliau diberitahu kerajaan negeri dapat menarik pelaburan RM16 bilion setakat ini.

Dalam sesi temu bual kemudiannya dengan wakil Harakahdaily yang kebetulan berada di Manchester, Asmuni berkata sudah sampai masanya cendekiawan Malaysia di luar negara termasuk di UK tidak takut-takut dengan majlis pertemuan seumpama itu kerana masyarakat di tanah air sendiri sudah begitu berani dan terbuka dalam menyatakan sokongan kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau percaya sebagai anggota masyarakat bermaklumat yang dengan mudah dapat mengakses pelbagai laman berita dan web, golongan cerdik pandai dapat membantu usaha pembaharuan yang ganjarannya dapat dinikmati seluruh rakyat.

Asmuni berkata maklumat menarik kehidupan di UK dan negara Eropah lain (misalnya tiadanya lebuh raya bertol di Britain dan Sweden) dapat dimaklumkan kepada rakyat agar mereka sedar betapa kerajaan-kerajaan negara ini begitu peka akan kebajikan rakyatnya.

Wakil Harakahdaily yang kemudian membuat tinjauan pendapat di kalangan warga Malaysia di Manchester, diberitahu bebanan kehidupan (sara diri) di UK adalah lebih rendah dan santai berbanding di tanah air.

Ketika harga petrol di Malaysia melambung sehingga RM2.70 seliter pada tanggal 4 Jun, pengguna di UK membelinya pada kadar antara 1.12 – 1.17 pound sterling seliter. Harga minyak di UK tidak sama antara stesen minyak dan hari kerana ia bergantung kepada turun naik pasaran dunia.

Adalah tidak wajar menukar nilai pound UK dengan mata wang Malaysia kerana perbandingan sedemikian seperti dilakukan sesetengah pemimpin Malaysia tidak adil disebabkan perbezaan dari segi pendapatan. Di UK, gaji minimum seseorang pekerja adalah 5.52 pound bagi setiap jam sedangkan di Malaysia tiada pendapatan minimum.

Menurut mereka, harga barangan asas begitu rendah. Misalnya tepung gandum hanya 54 pence sekilogram, beras panjang 89 pence sekilogram manakala sardin 18 pence setin. Malah daging ayam cuma 1.48 pound sekilogram.

Kata mereka, di Britain, untuk seseorang warganya menjalani kehidupan asas dengan selesa tidak menjadi masalah kerana negara kaya ini sudah lama mengamalkan konsep berkebajikannya.

Misalnya, pendidikan adalah percuma, demikian juga dengan rawatan kesihatan. Malah, golongan veteran diberi elaun bagi membolehkan mereka menjalani hari tua dengan selesa. Sekalipun, sebagai golongan pendatang, warga Malaysia turut menikmati sebahagian daripada kemudahan tersebut, kata mereka. _

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s