Segera bayar projek RM6 bilion untuk dana kempen BN

Ahmad Lutfi Othman
Hampir semua bersepakat bahawa tarikh pilihan raya umum ke-12 begitu dekat sekali. Ia bukan lagi diukur dalam tempoh “beberapa bulan”, tetapi hanya tinggal “beberapa hari”. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tentu ada formula tersendiri bagi mengulangi kemenangan besar 2004, namun beliau kini tersepit kerana tarikh penting itu. yang dijangka sekitar Mac 2008, sukar dianjak lagi.

Antara persiapan paling penting Umno-BN sebelum Parlimen dibubarkan adalah menilai kemampuannya untuk membeli undi. Bukan rahsia lagi apabila kekuatan gabungan parti pemerintah amat bergantung kepada faktor kewangan yang melimpah. Dana politik Umno-BN mesti dipastikan penuh sebelum Abdullah boleh mencadangkan tarikh strategik supaya mandat baru dicari.

Tanpa bekalan dana yang mencukupi, jentera pilihan raya Umno-BN agak mustahil dapat digerakkan. Segala-galanya memerlukan duit. Petugas dan penyokong parti hanya ghairah berkempen jika disogok dengan material termasuk penampal poster. Justeru, kocek ahli-ahli parti harus berisi sebelum jentera kempen dilancarkan secara efektif. Ada tempat menyaksikan bendera dan sepanduk BN terperosok di bilik gerakan menjelang hari mengundi ekoran “wang lambat turun”.

Soalnya, dari mana Umno-BN mendapatkan sumber kewangan dalam waktu sesingkat ini kalau bukan berpunca daripada khazanah kekayaan negara sendiri. Belanja kempen BN bukannya kecil. Ia tidak diukur dalam jumlah puluhan juta ringgit lagikerana “bisnes ini sudah melewati angka ribuan juta”, termasuk untuk memastikan tiada suara protes dalam parti terhadap calon yang terpilih.

Lubuknya adalah wang pembayar cukai melalui perlaksanaan projek pembangunan secara rundingan terus. Saya pernah beberapa kali membangkitkan isu projek rundingan terus ini, termasuk membina Istana Negara baru. Hasil pendedahan Harakah, kos pembinaan dapat dikurangkan, dari lebih RM1,100 juta kepada sekitar RM650 juta. Menurut sumber, keuntungan projek rundingan terus begitu lumayan, sehingga 40 peratus kos keseluruhan, berbanding tender terbuka, sekitar 15-20 peratus sahaja.

Petanda bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat kian terserlah apabila Jabatan Kerja Raya, pada pertengahan Disember 2007, diarahkan untuk mengeluarkan Surat Setuju Terima atau Surat Tawaran kepada ratusan projek rundingan terus secara ‘fast track’. Diperingatkan bahawa semua Surat Tawaran itu hendaklah dikeluarkan sebelum akhir tahun 2007.

Ia bagi membolehkan bayaran pendahuluan dapat dibuat secepat mungkin kepada pihak kontraktor, dan dengan itu, bayaran politik untuk dana pilihan raya Umno-BN dapat dilunaskan segera.

Umum maklum bahawa bagi setiap projek yang diluluskan, sekurang-kurangnya 5 peratus dari kos keseluruhan projek akan dialirkan kepada orang-orang politik, khususnya yang rapat dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Maknanya, jika projek itu bernilai RM1 bilion, maka ‘ufti’ yang dipungut adalah RM50 juta. Kini projek bernilai kira-kira RM1 bilion merupakan perkara biasa dan tidak dilihat sebagai satu angka yang besar lagi.

Agak aneh apabila pihak JKR terpaksa tergesa-gesa mengeluarkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor projek rundingan terus sedangkan kontraktor berkenaan belum pun mengemukakan cadangan teknikal dan semakan harga. Manakala kos yang dirujuk adalah harga siling yang dibenarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU).

Namun disebabkan keperluan tabung pilihan raya Umno-BN diisi, maka segala peraturan dan kelaziman dilanggar. Ini meningatkan kita kepada jaminan kosong Abdullah semasa mula-mula menjadi Perdana Menteri lebih empat tahun lalu bahawa beliau akan memilih kaedah tender terbuka dalam memilih kontraktor berwibawa.

Ketika heboh melancarkan projek di bawah RMK9, Abdullah, pada 7 Ogos 2006, sekali lagi menegaskan bahawa ia juga berasaskan “tender terbuka yang pemilihan syarikat pelaksananya dibuat berdasarkan cadangan pelaksanaan projek berdaya maju.”

Semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Mohd Daud Tarihep pada sidang Dewan Rakyat, 25 Jun 2007, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Dato’ Seri Dr Hilmi Yahaya. berkata pendekatan rundingan terus hanya dikhaskan untuk projek-projek tertentu yang memerlukan kepakaran dan kemahiran serta perlu disiapkan segera.

“Sebagai contoh, projek yang melibatkan pertahanan, kerana ia sulit serta memerlukan kepakaran tertentu atau perlu disiapkan segera,” katanya.

Dua hari sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Dato’ Shahrir Abdul Samad berkata langkah kerajaan melaksanakan pembinaan bangunan berdasarkan konsep reka dan bina atau secara rundingan terus dikenal pasti sebagai punca mengapa bangunan kerajaan menghadapi masalah penyelenggaraan, daripada kebocoran paip kepada keretakan struktur.

Rundingan terus, kata Shahrir telah mewujudkan konflik kepentingan di antara juru perunding dan kontraktor pembinaan bangunan. “Jika ia dilaksanakan secara tender terbuka, check and balance di antara perunding dan kontraktor adalah lebih ketat,” ujarnya.

Terbukti segalanya palsu. Abdullah tidak memegang kepada janjinya sendiri, malah menjadikan kantung kekayaan negara sebagai sumber utama untuk menjayakan jentera kempen Umno-BN dalam pilihan akan datang. Untuk pengetahuan, segala projek rundingan terus harus mendapat kelulusan Menteri Kewangan. Malah ‘orang-orang Abdullah’ sendiri mengutip ‘cukai 5 peratus’ daripada projek-projek berkenaan.

Projek tersebut langsung tidak berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan negara, mahupun memerlukan kemahiran dan kepakaran, atau perlu disiapkan segera. Saya sebutkan beberapa projek rundingan terus yang cadangan harganya belum dikemukakan kontraktor tetapi diarahkan supaya Surat Tawaran dikeluarkan juga, agar bayaran politik untuk dana kempen Umno-BN dapat dilunaskan. Jumlah semua projek berkenaan adalah RM2,900 juta.

Antaranya ialah empat projek naik taraf jalan bernilai RM75 juta, LHDN Cyberjaya (RM200 juta), JPJ Alor Star (RM50 juta), Intan Sarawak (RM41 juta), IKBN Kelantan (RM40 juta), Terminal Makanan Negara Kota Bharu (RM85 juta), UiTM Kepala Batas (RM80 juta), Universiti Malaysia Sabah (RM115 juta), Politeknik Mersing dan Banting (RM230 juta), Fakulti Pelancongan UUM Langkawi (RM238 juta), UIAM Janda Baik (RM289 juta), Kompleks Kementerian Dalam Negeri (RM130 juta), 6 projek berkaitan hospital (RM340 juta).

Selain itu, Surat Tawaran juga diarah untuk segera dikeluarkan bagi projek di peringkat penilaian dan penyemakan cadangan harga yang telah dikemukakan oleh kontraktor. Sebanyak 15 projek terbabit yang membabitkan kos keseluruhan RM3.3 bilion, menurut harga yang dikemukakan oleh pihak kontraktor. Antaranya ialah projek Hospital Wanita dan Kanak-Kanak HKL bernilai hampir RM1 bilion, selain cadangan naik taraf Jalan Persiaran Kuala Selangor, Shah Alam (RM101 juta).

Walaupun tabung kempen BN akan digunakan sepenuhnya untuk membeli sokongan dalam pilihan raya ke-12, mengulangi taktik kotor dalam siri pilihan raya sebelum ini; namun jika aktivis pembangkang memberikan komitmen 100 peratus dalam “perang besar” yang dijangka Mac depan, dan merujuk pergolakan isu-isu semasa, Abdullah dipercayai berdepan situasi lebih sulit yang mungkin tidak diduganya. _

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s