Isu peralihan kuasa cuma satu muslihat?

Posted by Super Admin
Saturday, 14 June 2008

Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang gentleman. Beliau tidak pernah kelihatan agresif dalam mencarta serta mencaturkan kerjaya politiknya. Apatah lagi bertindak menongkah arus atau membelah badai dalam siasah.

Lantaran itulah Najib sentiasa berandaian bahawa majoriti insan lain juga mungkin berwatak sepertinya – bersikap dan bertindak gentleman serta bijaksana membaca apa jua mesej yang terhurai secara bersurat atau tersirat disebalik sesuatu perkembangan siasah negara.

Perwatakan Najib ini menyebabkan sebilangan besar warga UMNO mutakhir jadi resah gelisah. Mereka mahukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tampuk kepimpinan parti dan negara kepada Najib dengan seberapa segera. Tetapi, Najib pula seolah-olah terus bersuara dan bertindak mengikut rentak irama Abdullah yang nampaknya penuh muslihat berjuta rahsia.

Kebelakangan ini, Najib dikatakan bertindak dan bersuara sedemikian rupa kerana beliau mengharapkan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada dirinya dilaksanakan “mengikut adat dan tradisi” yang diwarisi oleh UMNO sejak berzaman lamanya.

Setelah dirisik dan diselidik daripada pelbagai sumber, apa yang dimaksudkan oleh Najib seperti di atas adalah, peralihan kuasa dalam UMNO wajarlah dilaksanakan seperti proses peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman Putra kepada Tun Razak Hussein, daripada Tun Hussein Onn kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, dan daripada Mahathir kepada Abdullah.

Ini bermakna, Najib dipercayai mahukan satu proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada dirinya dilaksanakan secara ikhlas, jujur, tersusun, jelas dan tanpa campur tangan pihak-pihak di sekeliling Abdullah.

Ini juga bermaksud, Najib dipercayai mengharapkan peralihan kuasa itu mempunyai tempoh waktu yang tetap, tepat, khusus dan tertentu, di mana beliau diberikan peluang percubaan yang sewajarnya.

Model Mahathir-Abdullah

Pendek kata, model peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Abdullah dipercayai adalah contoh yang paling terdekat di hati Najib dan yang paling segar dalam ingatan seluruh warga UMNO.

Menurut model ini, Mahathir yang mengumumkan persaraannya daripada UMNO dan kerajaan pada 19 Jun 2002, hanya menyerahkan kuasa Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang sebenarnya kepada Abdullah pada 30 November 2003.

Di antara tempoh pengumuman persaraan dan penyerahan kuasa sebenarnya, Mahathir terus bekerja dan bekerja tanpa renti, baik di dalam negara atau di seberang laut.

Oleh itu, jika model Mahathir-Abdullah inilah yang diharap-harapkan oleh Najib, pastinya beliau amat kecewa bila pada 6 April 2008, Abdullah menyatakan bahawa beliau “memilih Najib sebagai penggantinya,” tetapi tidak pula ditegaskan bila waktunya dan bagaimana pula caranya.

Menurut pelbagai laporan akhbar tempatan, sewaktu berucap dalam satu pertemuan tertutup di hadapan 1000 orang kepimpinan UMNO akar umbi, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 6 April 2008, Abdullah hanya menyatakan bahawa “Najib adalah penggantinya sebagai Presiden UMNO dan antara mereka tidak pernah ada masalah.”

Pada 7 April 2008, selepas menemui pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Sabah di Kota Kinabalu, Abdullah ditanya oleh pihak media “sama ada beliau ada memikirkan tarikh untuk bersara selepas menamakan Najib sebagai penggantinya.” Menurut Utusan Malaysia, Abdullah memberikan jawapan seperti berikut:

“Saya tidak akan memegang jawatan bertahun-tahun lamanya. Sudah tentu tidak. Saya tidak akan memegang jawatan lebih lama daripada yang sepatutnya. Saya akan bersara satu hari nanti, tetapi saya tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang.”

Tempoh Khusus

Jawapan di atas membuktikan bahawa Abdullah memang belum dan mungkin tidak akan memberikan satu tempoh waktu yang khusus, jelas, khusus dan tepat, terhadap persoalan bilakah beliau akan menyerahkan tampuk kekuasaan kerajaan dan UMNO kepada Najib.

Kenyataan di atas juga menggambarkan bahawa proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib tidaklah seperti yang dikatakan dicita-citakan oleh Najib – dilaksanakan “mengikut adat dan tradisi” yang diwarisi oleh UMNO sejak berzaman lamanya.

Biarpun begitu, Najib tetap tenang dan tetap gentleman. Pada 7 April 2008, beliau berkata bahawa dirinya tetap “berterima kasih dan menghargai kepercayaan Abdullah yang menamakan beliau sebagai penggantinya untuk jawatan Perdana Menteri.”

Najib juga menyatakan bahawa “sebelum ini pendirian Perdana Menteri itu telah dizahirkan secara tertutup” kepada dirinya dan beberapa anggota kerajaan. Tetapi, hanya pada 6 April 2008, baru pertama kali Abdullah menghebahkannya secara terbuka.

Jika begitu hakikatnya, mengapakah pada 6 April 2008, Najib dilaporkan oleh beberapa media perdana sebagai “enggan mengulas apabila ditanya kenyataan Abdullah yang berharap Najib akan menggantikannya bagi menerajui negara ini” seperti ditegaskan dalam perenggan di atas?

Tidakkah ini agak ironis? Atau, mungkinkah terdapat sesuatu yang menghalang Najib, walaupun secara gentleman, untuk menyuarakan isi hatinya yang sebenar pada ketika ini?

Bagaimanapun, isi hati sebenar Najib mungkin tersirat di sebalik kenyataan beliau pada 3 April 2008. Ketika itu, Najib ditanya oleh media tempatan, “apakah UMNO kini memerlukan perubahan besar-besaran?” Najib menjawab bahawa “sebarang tindakan bergantung kepada kehendak dan suara ahli. Suara ramai dalam parti yang akan menentukan hala tuju dan masa depan parti.”

READ MORE HERE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s