Bukan Islam boleh sertai PAS selepas Perlembagaan parti dipinda

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) – Cadangan orang bukan Islam menjadi ahli PAS mungkin akan menjadi kenyataan, kata AJK PAS Pusat Dr Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, walaupun belum ada keputusan rasmi tetapi secara inisiatif sudah ada perbincangan meluaskan skop ahli Kelab Penyokong PAS untuk menjadi ahli PAS.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional berkata, kelab tersebut menunjukkan perkembangan positif dan pemimpin PAS melihatnya sebagai satu keperluan strategik bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam struktur parti.

“Maknanya mereka boleh menyertai PAS cuma memerlu sedikit pindaan di peringkat perlembagaan iaitu bab keahlian yang mensyaratkan seorang ahli yang menyertai PAS mesti beragama Islam.

“Mungkin perlu ‘adjust’ di situ untuk membuka ruang ini dan pada masa yang sama Kelab Penyokong PAS akan dipertingkatkan,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmi mesyuarat Agung Tahunan ke 23 PAS Kawasan Titiwangsa, di Markas PAS, Darul Ummah, Desa Pandan, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, sekarang perkara tersebut antara cadangan serius dibincangkan untuk menjadikan kelab itu sebagai sayap parti.

Katanya, ia penting untuk dijadikan sayap parti dalam usaha untuk membuka medan baru supaya PAS boleh diterima dan dilihat identitinya sebagai parti pelbagai bangsa.

“Bukan hanya melalui kelab tetapi sebagai keahlian itu sendiri sudah menunjukkan PAS parti berbilang bangsa,” katanya.

Menurutnya, perkara tersebut dijangka akan dibincangkan dalam Muktamar Agung PAS pada bulan Ogos nanti.

Tambahan pula katanya, perkembangan mesyuarat-mesyuarat kawasan sudah ada usul-usul menjirus ke arah itu.


Kemungkinan besar katanya, Kelap Penyokong PAS akan dijadikan sebagai sayap parti sama seperti Dewan Pemuda PAS, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama.

Katanya, sayap tersebut akan mempunyai strukturnya tersendiri.

Katanya, sekarang ini kelab itu berada di bawah Lajnahnya yang mana iaadalah sebahagian kecil di antara berpuluh lajnah yang ada dalam PAS.

Sebaliknya jika ia dijadikan sebagai sayap parti beliau berkata, ia menjadi sebahagian dari struktur parti

“Bagi saya ini satu penghargaan kepada bukan Melayu dan bukan Islam untuk duduk dalam sebuah parti Islam sebagai tempat dalam struktur parti,” katanya

Selain itu katanya, sayap tersebut akan ada ruang yang lebih efektif untuk meneroka medan politik baru PAS iaitu medan pengundi bukan Melayu yang merupakan pengundi baru bagi PAS.

Satu lagi katanya, penerimaan orang bukan Islam sebagai ahli PAS dapat membuktikan kepada parti lain bahawa PAS lebih serius menghampiri dirinya kepada kelompok berbilang kaum.

Namun katanya, cadangan tersebut mesti mendapat persetujuan daripada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk melihat perkara tersebut perlu atau tidak dan juga perlu dulu diusul dalam muktamar ini.

Sementara itu Pengerusi Kelab penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw yang turut hadir dalam sidang media tersebut berkata, cadangan tersebut menapati masanya selaras fenomena politik negara sekarang.

“Perjuagan PAS sudah terbukti dengan pemerintahannya di Kelantan ia adalah untuk Melayu, Cina dan India dan ia seperti adik beradik.

“Sebab itu saya sanggup memikul jawatan pengerusi kelab ini,” katanya.

Beliau berkata orang Melayu juga harus sedar bahawa Islam bukan untuk orang Melayu dan orang Cina dan India pula kena ingat Islam itu membawa mesej yang jelas iaitu keadilan untuk semua.

Dalam pada itu PAS kawasan Titiwangsa mencatat satu sejarah apabila Mesyuarat Agungnya dirasmi sekali dengan Pelancaran Kelab penyokong PAS.

Majlis tersebut turut dihadiri kira-kira 100 orang Cina dan India.

Mereka juga turut menyerahkan borang permohonan menjadi ahli kelab dan acara penyampaian watikah pelantikan kepada Jawatankuasa Kelab Penyokong PAS 2008/2009 dan penyerahan kad-kad keahlian kepada ahli turut diserahkan oleh Mujahid.

Sementara itu Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali yang turut berucap di majlis tersebut berkata, PAS kawasan menempa sejarah apabila mesyuarat agungnya dirasmikan sekali dengan majlis pelancaran Kelab penyokong PAS Parlimen Titiwangsa.

Malah katanya, pertama kalinya Mesyuarat Agungnya disertai oleh orang-orang Cina dan India. – mr_

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s