Janji peralihan kuasa bukan jaminan untuk Najib

Oleh SM Maulana

Walaupun semakin kerap Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengulangi akan menyerahkan kuasa kepada Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, beliau semakin tidak dipercayai rakyat.

Kepercayaan terhadap PM goyah akibat sikap dolak dalik kerajaan, dalam banyak perkara yang membabitkan isu-isu utama, antaranya, mengenai pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, pembubaran Parlimen, kenaikan harga minyak dan lain-lain.

Sehingga wujud persepsi di kalangan rakyat, “apa yang PM cakap betul sebenarnya tidak betul dan apa yang dinafikan PM, sebenarnya betul.”

Persepsi ini wujud dengan ketara, jelas menggambarkan ketidakselesaan kebanyakan rakyat terhadap pemerintahan Abdullah, Umno dan BN.

Pergilah ke mana-mana sahaja hari ini, kedengaran rakyat bercakap tentang kelemahan Abdullah. Bukan dalam soal kenaikan minyak sahaja, sama ada Abdullah sedar atau tidak, krisis kepercayaan ini sudah menjadi semakin serius.

Krisis ini secara jelasnya, boleh menjejaskan masa depan Umno dan BN.

Hakikat sebenarnya harus diakui orang-orang Umno, bahawa, Abdullah sekarang ini, berada dalam keadaan yang amat tidak selesa berbanding empat tahun dahulu, ketika mula mengambil alih kuasa.

Selaku PM dan Presiden Umno, Abdullah dipersalahkan dan harus bertanggungjawab ke atas prestasi paling buruk Barisan Nasional dan Umno sepanjang ia berkuasa sejak 50 tahun dahulu.

Enggan meletakkan jawatan

Selepas Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac lepas, Abdullah menerima kritikan yang amat teruk, khususnya dari kalangan orang-orang Umno, mendesak beliau meletakkan jawatan.

Namun Abdullah tetap bertegas dan mengulangi pendirian untuk terus kekal sebagai PM dan Presiden Umno, sekalipun mengakui akan melepaskan jawatan pada waktu yang sesuai.

Isu ini lenyap seketika, apabila timbul pandangan dari kalangan pihak tertentu dalam Umno, yang seolah-olahnya mahu, Abdullah diberi peluang memperbaiki ‘labu yang sudah rosak’ itu.

Kini isu peralihan kuasa dibangkitkan semula. Kemungkinan besar ia timbul hasil daripada sesi ‘brainstorming’ Majlis Tertinggi Umno yang diadakan selama dua hari baru-baru ini.

Motif utama diadakan program yang dinamakan ‘retreat MT’ tersebut, mungkin untuk mereka untuk memulihkan parti, selepas BN hampir dalam PRU lepas.

Menjadi kelaziman bagi mana-mana organisasi yang menghadapi masalah dalaman yang teruk seperti Umno, melakukan proses ‘re-engineering’ atau ‘reform’ untuk mendapatkan semula sokongan rakyat.

Dalam brainstorming tersebut, ada yang mengatakan beberapa orang pemimpin Umno menggesa Abdullah segera meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada Najib.

Namun setakat ini, walaupun Abdullah sudah membuat kenyataan, akan menyerahkan kepimpinan kepada Najib, tidak pula diinyatakan bilakah masanya beliau akan berbuat sedemikian.

Walaupun didesak banyak pihak, menggesa Abdullah supaya berundur kerana dipersalahkan akibat prestasi buruk BN, beliau tetap enggan meletakkan jawatan.

Abdullah masih ada banyak kerja

Jawapan ‘standard’ yang diberikan tiap kali diajukan persoalan itu, Abdullah akan berkata, beliau tidak perlu meletakkan jawatan kerana ada banyak kerja yang hendak dilakukan.

Agak-agaknya bila kerja-kerja sebagai PM hendak habis pun tidak diketahui. Abdullah sebenarnya mahu memberitahu Umno, apabila mendapat semula mandat tipis dalam PRU lepas, beliau berhasrat untuk terus berkuasa sehingga 2013.

Bukan setakat untuk kekal sebagai PM, Abdullah juga mahu mengekalkan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti Disember depan.

Justeru, untuk Najib, jika pun ada peluang untuknya menyandang jawatan Presiden Umno atau PM, beliau terpaksa menunggu sehingga PRU akan datang.

Ada yang mengatakan, Abdullah mahu menyerahkan kuasa kepada Najib, sebagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepada beliau pada November 2003.

Iaitu menyerahkan kuasa beberapa bulan sebelum PRU ke 13, kemudiannya BN menjangka akan mendapat mandat selesa dengan PM yang baru. Mungkin juga jangkaan BN akan meleset kali ini.

Tetapi apa pun orang-orang Umno mengatakan, sekurang-kurangnya Mahathir memberi ruang untuk pelan peralihan kuasa selama 14 bulan. Abdullah tidak langsung memberitahu bila.

Malah dikatakan, majoriti orang-orang Umno mahu Abdullah melepaskan jawatan, sebelum Perhimpunan Agung Umno Disember ini, tetapi desakan itu ditolaknya mentah-mentah.

Semua fenomena ini mencetuskan satu persepi bahawa, sama ada Abdullah tidak fahami signal dari rakyat, khususnya dari kalangan Umno sendiri, atau pun dia mahu ‘revenge’ terhadap penentang-penentangnya.

Kumpulan Abdullah tidak akan berdiam diri

Di sebalik tekanan dan kritikan terhadapnya, sudah tentu Abdullah tidak akan berdiam diri.

Juga kroni-kroni dan penyokong-penyokongnya dalam Umno, sudah tentu mereka akan cuba mempertahankannya. Kumpulan ini dikatakan sudah bergerak ke seluruh negara.

Sudah tentu anak menantu dan kroni yang ditempelak hebat orang-orang Umno seperti Kamaludin Abdullah, Khairy Jamaluddin, Kamal Khalid, Kalimullah Hassan serta lain-lain tidak akan berdiam diri.

Mereka dikatakan sedang menyusun strategi untuk memenangi semula sokongan akar umbi Umno kepada Abdullah pada pemilihan cawangan yang bermula Julai ini.

Mereka dikhabarkan sedang menyusun ‘line-up’ untuk menguasai Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita.

Namun, usaha pertama untuk bertapak di dalam pemuda dengan membawa bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Mohamed Ezam Mohd Noor dikatakan menemui jalan buntu.

Khabarnya ramai kalangan anggota MT, khususnya seperti Muhyiddin Yassin, Rafidah Aziz, Hishamuddin Hussein tidak menerima kemasukan Ezam yang ‘dibawa’ Khairy ke dalam Umno.

Malah dalam ‘retreat MT’ juga dikatakan, ramai yang lantang menentang kemasukan Ezam dalam Umno. Soal apa hendak jadi kepada Ezam sekarang, itu cerita kemudian.

Apa pun kumpulan penyokong Abdullah masih ada banyak ‘option’. Perjuangan untuk menguasai Pemuda masih berjalan. Mereka harus menguasai Wanita, menyusun anggota MT dan menguasai kerusi Naib Presiden.

Justeru, janji peralihan kuasa kepada Najib belum lagi pasti. Jika puak-puak Abdullah berjaya menguasai Umno, sekaligus mengetepikan penyokong Najib dalam MT, bukan Najib, malah lain yang mungkin akan menggantikan Abdullah.

Walaupun Najib berkali-kali menyatakan tidak akan melawan Abdullah, dan Abdullah berjanji akan menyerahkan kuasa kepadanya, dalam politik, tidak ada yang pasti, tidak ada yang boleh dijamin._

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s