Lanun Samudera dan Perompak Lebuhraya

Posted by SM Maulana
Monday, 16 June 2008

Oleh: ‘Deep Throat’ Sabah

Jika sebelum ini Polis diRaja Malaysia (PDRM) digelar Polis Raja Di Malaysia (PRDM), kini mereka diberi dua gelaran lagi iaitu Lanun Samudera (LS) dan Perompak Lebuhraya.

Dalam kes terbaru, dua buah kapal peronda polis Marin PS 25 dan PS 26 telah ‘merompak RM500’ daripada setiap bot nelayan yang menangkap ikan di Perairan Sabah selain seguni ikan atau udang yang berkualiti tinggi.

“Kami biasanya membekalkan wang tunai RM500 bagi setiap bot pukat tunda untuk tujuan kecemasan, tetapi setiap kali keluar menangkap ikan, bot polis marin telah meminta wang perlindungan daripada tekong bot. Semua pekerja kami mempunyai dokumen dan tidak ada sebarang kesalahan dilakukan,” keluh Mr Shim, seorang pemilik dua buah bot pukat tunda.

Tegas Mr Shim lagi, polis marin berkenaan mengugut tekong akan menahan bot berkenaan dengan pelbagai tuduhan yang direka-reka termasuk menangkap ikan di kawasan larangan sedangkan semua bot pukat tunda menangkap ikan di laut dalam.

“Kita harap polis marin boleh menjaga keselamatan kita, tapi mereka pula yang menjadi lanun di lautan. Kita buat laporan polis, tapi polis tidak mau terima dan kata kena tanya polis marin dulu. Apa semua ini?,” ujar Mr Shim yang bercadang untuk menjual bot pukat tundanya berikutan kenaikan harga minyak dan sukar mendapatkan minyak subsidi yang diselewengkan oleh Ko-Nelayan.

Peras ugut dan kegiatan lanun oleh polis marin, kata Mr Shim sudah berlanjutan sejak lima tahun lalu namun tidak seteruk sekarang apabila mereka kini merompak wang tunai yang dijadikan panjar wang runcit untuk tujuan kecemasan seperti kos penundaan bot atau memperbaiki kerosakan kecil di tengah laut.

“Jika dulu setiap bot polis marin yang meronda meminta seguni ikan, kini mereka merompak wang kami pula. Bayangkanlah kalau bot peronda ada dua puluh buah dan lebih 300 bot nelayan?,” ujar Shim yang mengakui menerima aduan yang sama daripada pemilik bot pukat tunda yang lain.

Sementara itu, seorang nelayan yang menggunakan bot laju untuk menangkap ikan mengaku dipaksa membeli minyak diesel daripada polis marin dengan harga yang murah dan dipaksa menyedut minyak daripada tangki kapal peronda polis marin PS dan PZ.

“Sudah lebih dua puluh tiga kali saya diarah menyebut minyak untuk dimasukkan ke dalam gelen plastik 20 liter, kadang-kadang sampai dua belas gelen dan hantar minyak tersebut kepada seseorang lelaki bernama Junior. Begitu juga dengan rakan nelayan saya yang lain,” ujar Markaman yang bimbang akan tertangkap kerana menjadi talibarut polis marin tanpa sebarang bayaran.

Menurut Markaman, Junior akan mengumpul minyak diesel dan petrol daripada polis marin sebelum menjualkannya kepada nelayan asing.

“Kami terpaksa melakukan kerja gila ini kerana kalau tidak mereka akan ganggu kebebasan kami dan melarang kami menangkap ikan. Mereka juga ada mengambil gambar kami ketika membawa minyak berkenaan. Macam mana kami mau hidup dalam ketakutan seperti ini?” ujar Markaman yang terpaksa menceritakan rahsia ini kepada Malaysia Today kerana merasakan menjadi hamba abdi kepada polis marin yang rakus.

Dalam pada itu, sekumpul lima anggota polis di Check Point Batu 32, Jalan Sandakan telah merompak sejumlah RM10,000 daripada seorang pekerja asing Indonesia yang ingin pulang ke kampung halamannya setelah bekerja selama lebih sepuluh tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Sandakan.

Menurut pekerja asing berkenaan, Musibah (bukan nama sebenar) beliau telah mengumpul wang berkenaan selama sepuluh tahun lebih untuk menebus kembali tanah yang digadaikan ketika beliau merantau ke Sabah untuk mencari nasib.

“Semua wang saya dalam beg sandang saya telah dirampas. Saya merayu agar wang saya dikembalikan. Mereka tertawakan saya. Apabila saya mula berontak, mereka rampas pula dompet saya dan rampas RM500 dalam dompet saya dan terus tangkap saya, katanya konon mahu rasuah polis,” ujar Musibah dalam keadaan terketar-ketar dan begitu takut.

“Selepas saya rayu, mereka lepaskan saya dan dengan wang RM23 dalam kocek, saya kembali ke Sandakan dan kerani bekas majikan saya membawa saya membuat laporan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sandakan,” ujar Musibah yang masih trauma dengan kejadian tersebut dan hampir merengkok dalam lokap jika ditangkap.

Tegas Musibah, pasportnya dirampas dan dikoyak salah seorang polis berpangkat sarjan bagi mengelak beliau membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa dan memastikan beliau tidak membuka mulut.

“Tapi kerani di tempat saya bekerja membawa saya membuat laporan di BPR dan menghubungi Konsol Indonesia dan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan kembali pasport baru dan mendakwa lima anggota polis berkenaan,” ujar Musibah lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s