“Semua parti komponen masih setia kepada BN” Ali Rustam

Oleh Utusan Meloya
Isnin, 16 Jun 2008

KL: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) dijangka keluar daripada BN.

Sambil menyifatkan berita tersebut hanya khabar angin, beliau berkata, biasanya ramalan-ramalan seumpama itu sering kedengaran di kalangan parti pembangkang dan bukannya daripada BN.

”Saya tidak fikir ada (parti) yang akan keluar, sebab semua parti komponen sebelum ini telah menyatakan kesetiaan masing-masing kepada BN dan saya anggap berita ini hanyalah satu khabar angin,” tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh semalam yang mendakwa sebuah parti komponen BN akan meninggalkan BN sebelum hujung bulan ini.

Bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar daripada BN itu.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka menegaskan, apa yang penting sekarang adalah tanggungjawab semua parti komponen BN bagi mengukuhkan kedudukan dan bukannya mendengar khabar angin yang disebarkan kepada umum.

”Lebih elok jika kita fikirkan untuk mengukuhkan parti, malah saya yakin tidak akan ada mana-mana parti komponen yang bertindak sedemikian,” ujarnya.

Beliau turut menggesa para pemimpin BN memberikan keutamaan kepada isu- isu semasa yang berbangkit berbanding memikirkan perkara-perkara lain yang kurang penting.

Katanya lagi, apa yang perlu dilakukan pada ketika ini adalah memikirkan bagaimana untuk mencari jalan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat ekoran kenaikan harga petrol.

Sementara itu, Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam turut bersependapat dengan Mohd. Ali dan berharap semua parti komponen BN berpegang kepada janji untuk taat setia kepada parti.

”Saya berharap semua parti komponen setia kepada BN kerana yang penting pada masa ini adalah untuk memulihkan parti selepas prestasi buruk pada pilihan raya lalu,” katanya.

Jelas beliau, masih banyak yang perlu diperbetulkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara ini yang sedang menghadapi kenaikan harga petrol.

Beliau berkata, tumpuan pada masa ini perlu menjurus kepada pembangunan negara agar kemakmuran yang dinikmati rakyat Malaysia dapat terus dikekalkan.

”Saya berharap semua parti komponen dapat memberikan kerjasama demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s