Syariah: ‘Gimik politik’ Pemuda PAS

Pemuda Umno menyifatkan usaha Pemuda PAS untuk melaksanakan beberapa program Islam di negeri-negeri Pakatan Rakyat sebagai “gimik politik” dan “sandiwara” sahaja.

“Tindakan Pemuda PAS ini hanyalah gimik politik semata-mata,” kata setiausaha pergerakan itu Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini.

“Mereka tahu ahli dan penyokong PAS merasa resah kerana parti PAS telah melencong jauh dari landasan perjuangan asal mereka. Agenda untuk mendirikan negara Islam sudah tidak kedengaran dari mulut pemimpin-pemimpin mereka.”

Beliau mengulas kenyataan naib ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi Abdul Rani, kelmarin bahawa pergerakan itu kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam di lima negeri Pakatan.

Menurut laporan Bernama, perkara yang bakal dilaksanakan termasuklah berkaitan pengharaman tempat perjudian, menghadkan premis penjualan arak dan etika pakaian di pejabat.

Sebuah jawatankuasa, Azman Shapawi dilaporkan berkata, telah ditubuhkan bagi membincangkan lebih terperinci pelaksanaannya di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor .

“Kita akui bukan mudah untuk melaksanakannya kerana di beberapa negeri pembangkang seperti Pulau Pinang dan Perak, PAS hanya mempunyai suara yang terhad.

“Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya upaya dalam hal ini,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sambil menyifatkan Pemuda PAS sebagai terdesak untuk menenangkan ahli mereka, Abdul Rahman juga berkata:

“Kenyataan itu sebenarnya hanya sandiwara kerana mereka tidak serius dan bertegas. Malah saya rasa mereka tahu cadangan itu tidak akan dapat diterima oleh parti DAP dan PKR.”

Menulis di blognya (www.mpkotabelud.blogspot.com), ahli parlimen dari Sabah itu juga menyindir PAS yang selama ini sering mengkritik Umno kerana bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam.

“Pada satu ketika, negara Islam menjadi satu perkara yang tidak boleh dikompromi oleh kepimpinan parti PAS. Malah mereka sanggup menggelar Umno kafir kerana berkerjasama dengan parti Cina (MCA dan Gerakan),” katanya.

“Sekarang fitnah dan tuduhan yang dilempar oleh PAS terhadap Umno menghantui PAS apabila mereka terpaksa bekerjasama dengan parti Cina.

“Apakah sekarang mereka pula kafir kalau diikut tafsiran parti PAS itu sendiri? Kenapa nampak sangat hipokrit mereka.”

Beliau juga berkata Pemuda PAS akan menghadapi kesukaran melaksanakan hasratnya itu dan kenyataan Azman Shapawi sekadar “mengabui mata rakyat”.

“Kenapa tidak mendesak secara keras seperti mana mereka buat terhadap Umno? Kenapa tidak melabelkan PKR, parti kafir? Adakah mereka takut pada Lim Kit Siang atau Karpal Singh?

“PAS sebenarnya sudah tidak dapat mempertahankan kedudukannya dalam Pakatan Rakyat. Penyokong mereka sudah marah kerana ideologi mereka diperlekehkan oleh parti komponen Pakatan sendiri.

“Nyata sekali ideologi mereka terlalu berbeza untuk menjayakan komplot politik mereka ini,” katanya lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s