Singapura nak wujud pusat budaya dan warisan Arab

Posted by SM Maulana

Write – Syed Imran


Foto (atas) masyarakat Arab yang menganggotai “The Arab Union” Malaya dan Singapura sekitar tahun 1950-an.

Foto (bawah) masyarakat Arab Pulau Pinang semasa merayakan Aidil-Fitri di rumah Almarhum Sheikh Al-Hasawi, Cantontment Road (Jalan Pemenang) sekitar tahun 1950-an.


Makam Almarhum Syed Noh bin Muhammad bin Abdul Rahman Alhabshee (Habib Noh) di Palmer Road, Tanjong Pagar, Singapura. Habib Noh berhijrah dari Pulau Pinang ke Singapura.

Pihak berkuasa Singapura telah mendahului Malaysia dan Indonesia dalam usaha untuk menjadikan pulau itu sebagai pusat penting dalam hubungan dengan dunia Arab.

Pemerintah Singapura sedar akan pentingnya hubungan ekonomi/dagangan/pelancongan dengan dunia Arab walaupun jumlah penduduk atau rakyatnya yang berketurunan Arab jauh lebih kecil berbanding Malaysia apatah lagi Indonesia.

Singapura merasakan bahawa republik itu boleh menjadi hab bagi masyarakat Arab di rantau Asia Tenggara (Nusantara) dan untuk itu ia sedang memperluaskan hubungan dengan negara-negara Arab.

Menurut Menteri Ehwal Luar Singapura, Brig-Gen (B) George Yeo satu pusat budaya dan warisan Arab akan diwujudkan dan pelannya berada dalam peringkat perancangan.

Yeo berkata di setiap bandar utama di Asia Tenggara, terutama di Malaysia dan Indonesia, terdapat masyarakat keturunan Arab dan mereka dihubungkan oleh budaya, pertalian darah dan perdagangan dengan dunia Arab dan Singapura merupakan sebahagian daripada ikatan penting dalam rangkaian itu.

Kita sedih kerana barisan kepimpinan Malaysia tidak berfikiran dan berwawasan seperti barisan kepimpinan Singapura. Nampaknya hubungan budaya dan pertalian agama dengan dunia Arab yang diwarisi oleh Malaysia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Jumlah penduduk atau rakyat Indonesia dan Malaysia yang berketurunan Arab jauh mengatasi yang berada di Singapura dan oleh itu Malaysia mahupun Indonesia seharusnya menjadi hab bagi masyarakat Arab dan bukan Singapura.

Apa yang dilakukan oleh mantan Menteri Luar Negeri Syed Hamid bin Jaafar Albar, seorang keturunan Arab Yaman (Hadhramaut), semasa memimpin Wisma Putra? Beliau mempunyai hubungan keluarga dan pertalian darah di dunia Arab tetapi kenapa tidak melakukan sesuatu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk masyarakat Arab.

Mantan duta besar Malaysia ke Ameriah Arab Bersatu (UAE) dan sebelum itu mantan Konsol Besar di Jeddah dan kakitangan kedutaan Malaysia di Mesir yang kini presiden Persatuan Jamiatul Khairiah Selangor dan Wilayah Persekutuan KL, Syed Hussein bin Abdul Kader Alhabshee juga mempunyai hubungan rapat dengan dunia Arab, tetapi nampaknya beliau tidak mengusahakan sesuatu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab masyrakat Arab. Para pemimpin politik keturunan Arab, khususnya yang berada dalam UMNO, juga gagal mengambil kesempatan untuk tujuan itu.

Nampaknya, seorang pemimpin Singapura yang tiada kaitan atau hubungan kekeluargaan dengan dunia Arab telah berjaya mengatasi Malaysia untuk menjadikan Singapura sebagai hab masyarakat Arab.

Jika Singapura berhasil dan saya percaya ia akan berjaya menjadikan pulau republik itu sebagai hab masyarkat Arab, maka Malaysia akan mengalami satu kerugian. Saya yakin Singapura akan mengadakan daya tarikan dan umpanan-umpanan istimewa untuk memikat pelancong Arab. Malaysia bukan sahaja akan kempunan tetapi akan berkurangan salah satu sumber pelancongan yang penting. Semuanya kerana barisan kepimpinan Malaysia tidak memandang jauh, cekap dan pintar seperti yang ada di Singapura yang mampu memikirkan sesuatu yang dapat memikat sasaran.

Selain usaha untuk menjadikan Singapura sebagai hab masyarakat Arab, barisan kepimpinan republik itu juga sedang bersaing hebat dengan Malaysia untuk menjadi hab halal dan pusat kewangan Islam. Dengan usaha bersungguh-sungguh yang diperlihatkan oleh Singapura, kita tidak boleh menolak kenyataan bahawa ia dapat mengatasi Malaysia dalam kedua-dua bidang yang diwajibkan oleh Islam itu.

Jika Malaysia kalah kepada Singapura dalam perkara-perkara yang berkaitan Islam, termasuk hab masyarakat Arab yang 90 peratus beragama Islam, apa nak dihairankan apabila kita kalah dalam mempertahankan hak milik ke atas Batu Puteh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s