Abdullah akan hadapi laluan ‘perit’ dalam pemilihan Umno

Posted by Super Admin
Wednesday, 18 June 2008
Posted by SM Maulana
(Harakah) – Kemelut kepimpinan Umno dan negara yang meruncing banyak menyumbang kepada pergolakan antara parti komponen Barisan Nasional dan terkini dua parti komponen hampir pasti keluar dari pakatan BN.

Lebih meyakinkan lagi, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) terus melaungkan keyakinan bahawa ahli-ahli parlimen BN akan meninggalkan parti mereka ‘sebelum tarikh akhir 16 September’ ini.

Naib Presiden KeADILan, Mohamad Azmin Ali sendiri memberi tekanan kepada Umno/BN dengan menyatakan bahawa perundingan antara partinya dengan wakil-wakil rakyat BN ‘berjalan lancar’, termasuk dalam kalangan Umno.

“Ada kemungkinan besar, dan perbincangan itu masih berjalan, bukan hanya dengan MCA tetapi juga dengan Umno dan parti-parti komponen BN,” katanya dalam satu laporan akhbar internet.

Dengan arus yang ada hari ini kata seorang sumber, Umno mungkin terus dirundung malang jika kepimpinan yang ada hari ini masih dikekalkan.

Sumber dalaman Umno yang ditemui Harakahdaily hari ini menyebut, keseluruhan kemelut yang membabitkan Umno hingga kesannya kepada BN adalah berpunca daripada kepimpinan Umno yang lemah.

Sumber itu berkata, fokusnya hari ini ialah kepimpinan Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang semakin tidak diyakini kerana kelemahan dasar dan tindakannya.

Antara keputusan paling mengejutkan ahli Umno dan rakyat ialah tindakan tergesa-gesa Abdullah memanggil pilihan raya umum ke-12 lebih awal walaupun Tun Mahathir Mohamad pernah menyatakan ia adalah tindakan yang salah, kata sumber.

Malah terkini keputusan kerajaan Abdullah menaikkan harga minyak pada paras tertinggi dalam sejarah secara mengejut menyebabkan ramai yang berang, ujarnya.

Namun, ahli Umno sendiri kini hanya menjadi ‘pak turut’ kepada pemimpin yang rata-ratanya mahu ahli menerima apa sahaja keputusan parti/kerajaan biar pun ia bukan berkepentingan rakyat, ujarnya.

Malangnya, ahli Umno seakan kurang sedar atau tidak disedarkan dengan senario ini apabila maklumat tidak sampai ke bawah, katanya.

Ini kerana akhbar-akhbar milik kelompok tertentu dalam Umno tidak mahu menyiarkan realiti ini dengan menggelapkan isu tersebut, katanya.

Justeru ujar beliau, satu kesedaran perlu dipupuk untuk memastikan pemimpin yang ada hari ini digantikan dengan yang lebih berwibawa.

Pengumuman Presiden Umno berhubung peralihan kuasa sebenarnya tidak memberi impak kepada pemulihan Umno secara keseluruhannya apabila ahlinya kini hanya menjadi ‘pak turut’, katanya.

Sebaliknya, formula bahawa pemulihan dengan memberi kuasa kepada ahli dicadangkan bagi memperbaiki keadaan yang sudah parah itu, katanya.

Kebimbangan kelompok ini nyata berasas apabila dalam pilihan raya umum lalu, kelemahan pentadbiran Perdana Menteri selain isu ‘kerajaan tiga beranak’ menjadi ‘isu besar’ yang menjatuhkan sokongan rakyat kepada Umno/BN.

Malangnya, Perdana Menteri masih tidak sedar dan mahu terus mempertahankan jawatannya itu untuk sekali lagi dalam pemilihan jawatan Umno Disember ini.

Desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Abdullah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno selepas pilihan raya umum lalu sedikitpun tidak diendahkan Abdullah.

Malah Abdullah tetap mempertahankan bahawa beliau masih menang besar walaupun bukan dengan majoriti dua pertiga.

Kini peperangan dalaman Umno tanpa kelibat Dr Mahathir (selepas Mahathir keluar Umno) sebenarnya bukan jalan selesa kepada Abdullah, kata sumber.

Sebaliknya, perkelahian bakal rancak dengan beberapa tokoh veteran dan pemimpin ‘mungkin’ secara terbuka akan menentang Abdullah dalam pemilihan kali ini.

Gendang-gendang kecil mula dipalu untuk menyatakan penentangan kepada Abdullah, sementara sudah pastinya isu keluarnya beberapa parti komponen BN daripada pakatan BN akan memeritkan lagi usaha Abdullah untuk mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Kecuali, seperti kata sumber, Presiden Umno itu sekali lagi dengan rakus menggunakan segala ‘jentera’ yang ada tidak kira media atau sebagainya untuk meratah semua pihak yang menentangnya.
Yang pastinya, pemilihan Disember ini akan rancak dengan permainan yang lebih dahsyat termasuk melalui alam siber yang lebih terbuka untuk tatapan umum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s