Keluar ‘Barisan’: Pengumuman hari ini?

Posted by SM Maulana

Oleh G.Manimaran, Mstar
Rabu, 18 Jun 2008

“SAYA tiada diberitahu apa-apa mengenainya.” Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kota Kinabalu, Sabah semalam (Selasa).

Bagaimanapun mStar Online difahamkan ahli-ahli Parlimen dan parti mereka wakili dijangka akan membuat pengumuman hari ini.

Parti itu dipercayai dari Sabah.

Pagi ini Kabinet akan mengadakan mesyuarat mingguannya.

Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan parti komponen yang dihubungi juga menafikan laporan sedemikian.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas lanjut, jelas Abdullah, beliau tidak tahu mengenai sebarang langkah sebuah parti komponen BN atau anggota-anggota Parlimen meninggalkan BN dan membentuk sebuah gabungan bebas.

Ketika bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu lapor Bernama, Abdullah yang juga Pengerusi BN diminta mengulas mengenai laporan baru-baru ini yang menyatakan sebuah parti BN sedang menimbang untuk keluar dari gabungan itu.

Abdullah tiba di Sabah untuk merasmikan majlis penutupan Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa Kedua 2008.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, tidak ada sebarang petunjuk sehingga ini yang sebuah parti komponen BN negeri akan meninggalkan gabungan itu dan beliau menyifatkannya hanya spekulasi.

Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Raymond Tan semalam turut menafikan yang partinya akan meninggalkan BN.

Beliau berkata parti itu tidak ada membincangkan perkara itu dan memberi jaminan SAPP akan kekal sebagai parti komponen BN.

Pada Sabtu lalu, bekas Naib Presiden Umno dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa akan ada sebuah parti komponen BN akan keluar menjelang hujung bulan ini.

Ia merupakan kunjungan ketiga Abdullah ke Sabah sejak pilihan raya umum lalu. Beliau berada di negeri dua minggu lalu.

Desas-desus melompat parti yang ditimbulkan semula oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak seminggu lalu.

Anwar dalam blognya hari ini berkata, “rata-rata pengunjung giat bertanyakan tentang bila kita bakal mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.”

Tambah beliau, “pokoknya, kita semakin hampir ke sana. Kelmarin di Pulau Pinang telah saya tegaskan, beberapa teman dari MCA bakal beralih arah.”

Anwar telah berulang kali menyatakan bahawa Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaan menjelang 16 September. Ia mempunyai 82 kerusi di Parlimen dan memerlukan 30 wakil rakyat yang sanggup melompat parti.

Sehubungan itu, beliau juga menyarankan mana-mana wakil rakyat sama ada anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Dewan Rakyat, jika ingin menyertai Pakatan Rakyat harus melepaskan kedudukan mereka terlebih dahulu.

“Saya menganggap bahawa ia (tindakan melompat parti) tidak salah dari segi undang-undang, tetapi jika wang ringgit dan janji digunakan untuk melompat parti, maka ia salah dari segi moral dan amalan demokrasi.

“Mereka yang terlibat ini harus mengembalikan semula mandat yang telah diperoleh (ketika pilihan raya umum ke-12) kepada pengundi dan harus meletakkan jawatan… kemudian bertanding semula jika merasakan boleh menang dan mahu bertanding lagi,” kata beliau sambil mengakui kini tiada peruntukan sedemikian.

Undang-undang semasa pilihan raya tidak membenarkan seseorang berhenti daripada menjadi wakil rakyat dan bertanding semula.

Jelas beliau, perlu ada pindaan undang-undang bagi membolehkan peruntukan baru digubal bagi menghalang mereka yang menang atas tiket parti lain tetapi kemudian menyertai sebuah parti lain.

Perpindahan besar-besaran wakil rakyat mengejutkan negara berlaku pada 1994 selepas pilihan raya umum negeri Sabah sehingga membawa kepada kejatuhan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Desas-desus bahawa ada Ahli Parlimen BN akan menyertai kendengaran sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, dengan kebanyakannya membabitkan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Kelmarin, di Pulau Pinang, Anwar menyebut bahawa beberapa Ahli Parlimen MCA pula akan menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula mencabar Anwar “jika pada 17 September kerajaan BN masih lagi memerintah dan mandat rakyat masih terpelihara, beliau bertindak meletakkan jawatan sebagai Penasihat PKR kerana gagal mengotakan janji kepada penyokongnya.”

“Jika beliau gagal, bukan hanya beliau harus letak jawatan, tetapi apa sahaja kredibilitinya dimata rakyat akan hancur begitu sahaja,” kata beliau dalam blognya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s