Minyak – kita wajib marah

Posted by SM Maulana

Write by -Hishamuddin Rais

Rakyat WAJIB bangun, marah, keluar berdemo dan menuntut dibuka semua akaun Petronas untuk di ketahui umum. Kenapa akaun ini dijadikan rahsia? Kenapa rahsia? Apa sebab menjadi rahsia? Apa yang ingin di sorokkan?

DARI JELEBU

Harga minyak semakin meledak tinggi. Orang ramai semakin marah. Ini memang tepat dan betul.

Saya telah menulis tentang bahan bakar minyak petroleum ini seawal wujudnya kolum Dot Mai saya di Malaysiakini. Saya juga telah menulis tentang perkara yang sama untuk pembaca Mandrin di akhbar Oriental Daily. Apabila saya menulis di Suara Keadilan agenda minyak ini telah beberapa kali saya garap.

Kali akhir saya menulis tentang minyak ialah apabila saya membaca niat PKR untuk menurunkan harga minyak sebagai janji pilihan raya umum ke 12. Saya memiliki pandangan yang berbeza dari hal bahan bakar minyak petrol.

Saya sedar TIDAK ramai yang memahami apa yang telah saya tulis dalam masa sepuluh tahun ini. Ada yang tidak mahu faham. Dan ada pula yang menganggap pandangan saya ini adalah pandangan seorang hippie yang anti-kereta dan anti-pembangunan.

Saya adalah penganut mazhab Peak Oil/Puncak Minyak. Puncak Minyak ini adalah satu teori yang mengajukan pandangan bahawa minyak yang mula ditemui 150 tahun dahulu kini kian habis. Pada awalnya bahan mentah ini senang memancut dan mengalir keluar. Peningkatan ilmu dan teknologi moden telah dapat pula membantu pengaliran minyak dengan banyak – sama ada dari daratan mahu pun dari perut laut.

Pancutan yang melimpah ruah dari telaga minyak ini akhirnya akan sampai ke satu tahap yang paling tinggi. Tahap tinggi ini dipanggil Puncak Minyak. Sesudah sampai ke tahap puncak ini maka pancutan minyak itu akan mula menurun. Akhirnya untuk mengeluarkan saki minyak dalam perut bumi air wajib dipancut ke dalam bumi agar dapat menolak minyak ke atas. Ini sedang berlaku di banyak telaga-telaga minyak di Saudi.

Ketika pancutan/pengaliran bahan bakar ini melimpah dengan banyak maka negara-negara yang memiliki telaga-telaga minyak itu telah menjadi negara pengeksport minyak. Negara-negara ini menjadi kaya dan telah bergabung di bawah OPEC. Apabila pengeluaran minyak susut – tidak mencecah satu juta tong sehari untuk di terima sebagai ahli OPEC – maka negara ini terpaksa meninggalkan OPEC. Ini telah berlaku kepada Indonesia.

Negara jiran kita ini bukan lagi negara pengeksport tetapi negara pengimport minyak. Susutnya pengeluaran minyak adalah tanda-tanda bahawa telaga-telaga di negara ini telah melintasi Puncak Minyak. Inilah sebahagian dari asas teori Puncak Minyak.

Data-data pengeluaran minyak dari negara-negara pengeksport telah menunjukkan semakin banyak negara-negara pengeluar minyak telah melintasi zaman Puncak Minyak – ertinya minyak dalam perut bumi negara itu semakin kurang. Malaysia sendiri dalam masa 10 tahun yang akan datang TIDAK lagi menjadi negara pengeksport bahan bakar minyak.

Jika kita faham dan mahu menerima asas teori Puncak Minyak ini maka kita perlu melakukan tindakan dan langkah-langkah yang logik dan masuk akal. Retorik politik perlu dipadamkan kerana ia bukan jawapan untuk Puncak Minyak. Kita semua wajib ‘sejuk kepala’ agar dapat dirangka strategi jangka pendek dan strategi berjangka panjang untuk menghadapi dunia tanpa minyak yang PASTI berlaku dalam hayat kita ini.

Memang betul bahawa kenaikan harga minyak yang baru berlaku ini telah menaikkan kemarahan rakyat. Kenaikan harga petrol ini sudah pasti akan membawa mudarat ekonomi. Harga barang-barang keperluan akan naik dalam masa yang terdekat. Kos belanja hidup akan meninggi, selagi gus tahap kehidupan warga akan menurun kerana pendapatan/ pencarian tidak lagi dapat menampung kos.

Memang tepat jika orang ramai bangun membantah, berdemo dan memprotes kenaikan harga minyak yang menyusahkan orang ramai. Tetapi kemarahan ini juga seharusnya berdasarkan beberapa perkara yang hakiki yang perlu di fahami oleh orang ramai.

Marah kerana minyak petrol naik harga sedang menjadi-jadi di seluruh dunia. Demonstrasi sedang merebak di merata-rata kota dalam dunia. Marah yang menyirapkan darah rakyat Malaysia ada puncanya. Malaysia sebagai negara pengeluar minyak tetapi harga minyak mahal. Kenapa ini berlaku? Inilah soalan yang menyirapkan darah.

Soalan – kenapa ini berlaku – menjadikan orang ramai marah. Jawabnya – semua ini adalah hasil kerenah dasar ekonomi kerajaan United Malays National Organisation. Dasar ekonomi pembaziran selama 50 tahun ini telah membuat orang ramai marah. Kemarahan ini pasti menjemput orang ramai turun ke jalan raya untuk berdemo.

Kemarahan awal – semenjak syarikat Petronas ditubuhkan pada tahun 1974 – kita sebagai warga negara telah TIDAK diberitahu penyataan kira-kira kewangan syarikat minyak ini. Syarikat minyak ini adalah hak milik negara. Negara itu ialah kita semua. Kita ialah rakyat. Ertinya Syarikat ini adalah hak milik kita semua. Bukan hak milik United Malays National Organisation, bukan hak milik Hassan Merican atau hak milik Mahathir Muhamad.

Sebagai warga kita berhak untuk mengetahui pendapatan, belanjawan dan pelaburan yang telah, yang sedang dan yang akan dilakukan oleh Petronas. Selama lebih dari 30 tahun ini duit dari Petronas telah TIDAK diketahui ke mana lesapnya.

Kemarahan kedua – Pembaziran demi pembaziran telah dilakukan selama 22 tahun oleh Mahathir Muhamad. Lihat bangunan Dayabumi – kosong. Lihat bangunan berkembar Petronas – satu darinya kosong. Lihat pula Litar F1 Sepang – kosong. Lihat pula Bangunan Konvensyen di Putera Jaya – kosong. Lihat pula agenda Monsoon Cup – kosong. Lihat pula Kampung Hadari di Kuala Terengganu – Kosong. Berbilion-bilion duit Petronas diambil untuk projek-projek gila.

Marah sahaja TIDAK cukup. Masanya telah sampai untuk kita semua turun ke jalan raya untuk menghentikan pembaziran ini.

Rakyat WAJIB bangun, marah, keluar berdemo dan menuntut dibuka semua akaun Petronas untuk di ketahui umum. Kenapa akaun ini dijadikan rahsia? Kenapa rahsia? Apa sebab menjadi rahsia? Apa yang ingin di sorokkan?

Kemarahan ke tiga – Rakyat wajib tahu – berapa ramai pemain Filharmonik Orkestra Petronas itu rakyat Malaysia? Rakyat wajib tahu berapa belanja mengupah Mat Saleh kokak yang dalam negara mereka sendiri TIDAK ada kerja, kini datang berlagak menjadi pemuzik di Malaysia?

Kemarahan ke empat – Najib dan Razak Baginda yang mendapat komisen beli kapal selam itu duitnya datang dari mana? Apa gunanya kapal selam ini? Hendak menyelam apa? Apakah ini projek-projek ‘senjata’ ini bertujuan untuk buat duit? Bukankah ini duit dari jual minyak?

Kemarahan ke lima – Rakyat wajib diberi tahu siapa yang melantik Mahathir Muhamad menjadi penasihat Petronas? Ketika Mahathir berkuasa dahulu siapa pula penasihat Petronas? Kalau dahulu TIDAK ada penasihat kenapa sekarang perlu ada. Apakah Mahathir Muhamad yang menjaga duit Petronas? Betul kah duit Petronas telah diambil untuk membayar hutang Mirzan anak Mahathir pada tahun 1997 dahulu?

Lima kemarahan ini hanyalah kemarahan awal. Hakikatnya jika semua pembaziran ini dihentikan PASTI harga minyak dapat diturunkan.

Tetapi waspada penurunan ini hanya untuk sementara. Kerana akhirnya minyak tidak dapat tidak akan naik juga harganya kerana bahan bakar petrol semakin kurang ditemui. Jadi tuntutan kita untuk menurunkan harga minyak hari ini wajib dibaca sebagai strategi jangka pendek untuk membeli masa.

Membeli masa bertujuan agar kita dapat melakar strategi berjangka panjang. Satu dasar baru untuk melahirkan satu struktur ekonomi baru yang dapat mengubah seluruh cara hidup kita semua. Strategi ini memerlukan perbincangan yang mendalam. Memerlukan pandangan dari semua sektor ekonomi. Strategi ini TIDAK memerlukan retorik politik tetapi daya fikir untuk melihat bukan 10 atau 20 tahun tetapi untuk melihat 1000 tahun tamadun manusia yang akan datang.

Jadi – masa nya telah sampai untuk kita semua turun ke jalan raya. Turun ini bukan sahaja untuk mengubah harga minyak tetapi untuk mengubah keyakinan diri kita bahawa akhirnya kerajaan ini adalah milik rakyat. Hanya kerajaan berpaksikan kepentingan rakyat dan BUKAN kerajaan berpaksikan untung yang dapat menyelesaikan masalah orang ramai hari ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s