Letak jawatan, kenyataan Ku Li tambah luka PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) – Laluan untuk Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan jawatan dalam parti dan kerajaan semakin berliku selepas parti komponen BN di Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) memberi tekanan dengan mengisytiharkan undi tidak percaya kepadanya.

Keperitan itu ditambah lagi dengan ‘rencah’ yang dibawa veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang memberi amaran supaya Abdullah melepaskan jawatan.

Ku Li yang dikatakan akan bertanding dalam pemilihan Umno Disember ini sekali lagi membuat kenyataan ‘bisa’ terhadap Perdana Menteri, malah ditambah dengan kenyataan berupa amaran.

Beliau mencadangkan agar Perdana Menteri melepaskan jawatan sebagai langkah terbaik bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap BN.

Ujarnya, beberapa kepimpinan Umno di Semenanjung juga sebenarnya tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden Umno itu.

Mesyuarat tertutup Umno di Glenmarie, Shah Alam baru-baru juga ini masih tidak dapat mencapai keputusan sebulat suara untuk mengekalkan Abdullah dalam jawatan sekarang, dakwanya.

“Daripada pemahaman saya, jalan terbaik sekarang adalah untuk Perdana Menteri meletak jawatan supaya boleh digantikan dengan calon yang lebih sesuai dalam mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno dan BN,” katanya.

Ku Li dalam satu laporan akhbar hari ini menyatakan betapa seriusnya tindakan dan desakan yang dilakukan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata kerajaan perlu peka dengan desakan daripada parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan segala salah faham yang berlaku.

Beliau berkata Abdullah dan barisan kepimpinan perlu berdiplomasi dan berunding dengan para pemimpin parti politik dari kedua-dua negeri itu.

Katanya lagi kerajaan sekarang tidak akan mendapat mandat untuk memerintah tanpa parti komponen dari kedua-dua negeri itu.

Tambahnya, kekuatan Umno sekarang adalah disebabkan kejayaan parti komponen dari Sabah dan Sarawak pada pilihan raya umum lepas,

Beliau berkata demikian dalam satu majlis malam tadi ketika diminta mengulas mengenai Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Dato’ Yong Teck Lee mengisytiharkan bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

Sementara itu ketika menjawab soalan sama ada beliau akan menarik diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti akhir tahun ini, beliau tetap dengan pendiriannya tidak berundur.

“Jika pucuk pimpinan enggan menerima hakikat sebenar, saya bimbang perkara terburuk akan berlaku kepada parti dan kerajaan ini,” ujarnya._

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s