PM mungkin akan letak jawatan dalam masa terdekat? – Mahfuz

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka akan melepaskan jawatannya secepat mungkin sebelum usul undi tidak percaya di bawa ke Dewan Rakyat.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar hari ini ketika mengulas mengenai kenyataan Parti Maju Sabah (SAPP) mengenai sokongan terhadap undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri yang mungkin akan dibawa ke Dewan Rakyat isnin ini.

Beliau menjangkakan bahawa akan ramai lagi ahli Parlimen Umno dan BN yang akan membuat kenyataan bagi menyokong langkah SAPP itu sebelum sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Justeru, baginya Perdana Menteri mungkin akan berbuat demikian bagi mengekalkan pemerintahan kerajaan BN hari ini, dan hal ini mungkin mendapat sokongan di kalangan ahli Parlimen BN.

Namun kata Mahfuz, beliau lebih melihat bahawa ‘taktik’ ini tidak akan memberi impak kepada rakyat yang terhimpit dengan kenaikan harga minyak dan beban kerana kelemahan kerajaan.

Sebaliknya, jika Abdullah mengundur diri, kemungkinan besar Timbalannya, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengangkat sumpah seterusnya mengemudi kerajaan dengan ‘beban’ yang masih sama.

“Saya pernah ingatkan dahulu bahawa Najib dan Abdullah adalah liabiliti kepada negara, malah parti BN itu sendiri adalah beban kepada rakyat.

“Justeru bagi saya bukan sahaja Abdullah perlu melepaskan jawatan, sebaliknya undi tidak percaya perlu dibuat kepada kerajaan BN seluruhnya dan gantikan dengan kerajaan yang baru,” ujar Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Sementara itu beliau juga menyatakan bahawa PAS menyambut baik tindakan SAPP itu dan menyeru parti komponen BN bukan sekadar membuat undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Sebaliknya membawa usul undi tidak percaya kepada kerajaan yang ada hari ini atas alasan kerajaan kini terlalu lemah dan tidak berupaya membela rakyat, ujarnya.

Di pihak Pakatan Rakyat sendiri, pakatan akan membincangkan hal ini semasak-masaknya kerana bimbang kemungkinan taktik ini hanya akan menyebabkan peralihan kepimpinan bukan kerajaan.

“Apa yang penting dan boleh menyelamatkan rakyat ialah dengan hanya menukar kerajaan,” tegasnya.

Beliau turut menyokong kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang mendesak Abdullah melepaskan jawatan.

Namun beliau juga melahirkan kebimbangan dengan senario ini hanya akan menyebabkan ‘peralihan kepimpinan’ bukan ‘peralihan kerajaan’.

Paling penting dalam hal ini, rakyat adalah perkara pokok yang perlu diambil kira oleh seluruh ahli Parlimen BN dalam membuat keputusan, tegas Mahfuz.

Semalam, pengumuman yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia akhirnya terjawab apabila ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) dikatakan akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Tindakan ini adalah sejarah yang mungkin tidak dapat dilupakan Perdana Menteri dan rakyat Malaysia bahawa usul tidak percaya akan dikemukakan terhadap perdana menteri.

“Sewaku sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini, 23 Jun, ahli-ahli Parlimen kita akan menyokong undi tidak percaya kepada PM.

Sama ada usul itu akan dikemukakan oleh ahli Parlimen kita atau ahli Parlimen lain, akan diputuskan bila tiba masanya,ujar satu kenyataannya semalam.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen, iaitu Dato’ Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Dato’ Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) selain empat ahli dewan undangan negeri.

Majimbun yang kini berada di luar negeri, telah menyatakan sokongannya terhadap keputusan parti itu dengan menandatangan kenyataan tersebut.

Chua turut hadir dalam sidang akhbar yang diadakan khas di Kota Kinabalu memberi empat sebab mengapa beliau menyokong usul tidak percaya terhadap PM itu. _

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s