“Kisah saya di Astro Awani” Badrul Hisham

Oleh chegubard.blogspot.com
Jumaat, 20 Jun 2008

SEMALAM melangkah masuk ke studio Awani Astro dengan semangat membawa hujah dan pendedahan termasuk dokumen rasuah untuk ditanyakan kepada Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Namun semangat itu sedikit pudar dan kecewa apabila di maklumkan oleh penerbit rancangan bahawa Rahim tak datang dengan makluman notis terlalu singkat dan menghantar penggantinya Dato’ Mohamed Dahan Abdul Latif.

Alhamdulillah semua berjalan ‘agak’ baik sehingga ke hujung rancangan cuma hujah saya kerap tergantung dipotong oleh moderator yang agak berpengalaman nak dibezakan dengan saya yang kali pertama muncul dalam rancangan TV.

Cuma saya agak sukar nak tidur malam tadi kerana saya punya jawapan alternatif atau penyelesaian kepada DEB yang gagal tetapi nampaknya peluang yang sepatutnya saya dapat untuk menggulung tak ada. Selepas Dato Mohamed Dahan gulung terus disudahkan oleh pengacara tanpa beri peluang saya gulung.

Masa 30 minit rupanya terlalu singkat untuk menghujahkan DEB yang gagal dari peringkat segi teori ekonomi lagi, realiti semasa dan alternatif yang ada.

Realiti semasa

Hujah pertama saya ialah membawa rakyat berfikir mengenai relaiti sebenar setelah DEB itu dilaksanakan semenjak peristiwa 1969 – kini.

Carta yang yang saya bawa ialah mengenai Hak Milik Modal Saham (Pada Nilai Tara) Syarikat Berhad. Dimana dalam carta ini saya fokuskan hak milik Bumiputera pada tahun 1990 ialah RM 20,8777.5 juta dan pada tahun 2004 pula ia menjadi RM 100,037.2 juta.

Memang nampak meningkat tetapi jangan dibezakan dengan kelompok kaum lain jumlah angka itu jauh ketinggalan jika dibezakan dengan Hak Milik Rakyat Asing iaitu pada tahun 1990 berjumlah RM27,525.5 juta dan meningkat mendadak pula pada tahun 2004 kepada RM 172,279.6. Itu baru data 2004 kita sudah jauh ketinggalan dan kini diyakini angka milikan asing jauh lebih tinggi di bawah PM yang jelas dia dan keluarganya yang mudah dipengaruhi agen asing.

Maknanya 50 tahun lebih merdeka dan sejak peristiwa 1969 kita menggunakan DEB jelas ia gagal memacu kita untuk mencapai matlamat. Maka jika kita sudah sedar ia gagal mengapa kita harus terus menggunakan ‘kenderaan’yang kita sedari gagal untuk menyampaikan kita kepada destinasi.

Kenapa gagal ?

Dato Onn Bin Jaafar (pengasas UMNO) sendiri dalam “Memorandum National Service For Malay” ada menyatakan “kuasa politik tanpa kuasa ekonomi ialah kuasa yang hanya umpama bayang bayang”

Maknanya begini teori DEB ialah kuasa politik = Melayu/Bumiputera dan Kuasa Ekonomi = Cina, maka keseimbangan tidak wujud kerana Melayu gagal menguasai ekonomi dan hidup susah. Maka DEB menggunakan kuasa politik untuk membuat dasar bagi menguasai kuasa ekonomi. Ini jelas bakal gagal dan salah dari aspek teori lagi.

Malam semalam saya membawa analogi DEB dalam sebuah keluarga. Ibu umpama kuasa politik yang menetapkan polisi bahawa anak harus belajar perbagai bidang, belajar muzik, belajar komputer, belajar kelas tarian, belajar Kelas Agama dan macam macam lagi yang jelas baik bagi anak. Tetapi bapa yang menjadi pemegang ekonomi akan mengatakan ‘tidak ada duit’ dan dengan 3 patah perkataan ini semua polisi akan gagal dilaksanakan, begitulah DEB.

Apa yang harus kita lihat ialah realiti semasa iaitu jurang kemiskinan antara kaya dan miskin. Saya bawakan semalam UNDP Report 2004 yang menunjukkan 10 % orang paling miskin dalam negara hanya menguasai 1.7 % agihan kekayaan negara tetapi 10% paling kaya pula memiliki 38.4 % hasil negara.

Maknanya terdapat jurang yang sangat besar dalam agihan ekonomi negara dan jika dibezakan dalam rantau ini pun jurang berbezaan kaya dan miskin, Malaysia mencatatkan jurang yang paling besar.

Jika nak kata DEB gagal sepenuhnya memacu ekonomi Melayu saya amat tidak setuju, tetapi ditegaskan Melayu macam mana ? Melayu yang dipacu ialah melayu kapitalis elit politik yang dekat dengan kekuasaan.

Dengan agihan AP kenderaan untuk bumiputera telah telah melahirkan kelompok elit kroni Melayu yang sangat kaya raya, dengan menetapkan CEO melayu dalam syarikat GLC’s telah menyebabkan wujudnya kelompok elits melayu yang kaya raya walupun rakyat hidup derita.

Semalam saya membawa contoh bagaimana Kerajaan BN membenarkan kenaikan 100% elaun CEO TNB dalam keadaan krisis tenaga yang memaksa rakyat mengikat perut. Benar CEO Melayu kaya tetapi majoriti Melayu…?

Atas nama Melayu juga amalan korupsi bermaharajalela…. elit politik atau kapitalis melayu yang dekat dengan kekuasaan menguasai ekonomi dan peluang atas konsep DEB atas nama Bumiputera Melayu.

Keadaan ini akan lebih parah kerana selepas mendapat hak pegangan mereka membuat keuntungan segera dengan menjualnya kepada kelompok kaum lain ataupun rakyat asing.

Kecewa Rahim tak datang

Semalam saya bawa banyak dokumen untuk saya tanyakan kepada Tan Sri Rahim Thambi Chik (tetapi kecewa di tidak datang) antaranya ialah kertas siasatan BPR keatas beliau yang mencatatkan bagaimana ketika kertas siasatan tersebut dilengkapkan pada 31.5.1993 beliau memiliki harta bernilai RM 39,782,772.69 juta.

Kekayaan ini di kaut atas nama Melayu. Menarik dalam kertas siasatan tersebut BPR menyatakan bahawa bukti cukup lengkap untuk membuat pendakwaan walaupun selepas itu dihantar kepada Peguam Negara dan kes ini di sapu ke bawah permaidani atas arahan atasan dan yang paling menarik pula ialah dalam ruang kesimpulan kertas siasatan dibawah perenggan 6.3 menyatakan bahawa pendakwaan ini keselamatan negara.

Wakil Rahim Thambi Chik semalam cuba mengatakan orang Melayu perlu rajin dan berubah. Saya hampir tergelak dengan hujah itu. Orang Melayu tidak malas, jangan jadikan sampel kes tertentu untuk menghukum majoriti, tetapi sistem ekonomi bertunjang DEB itu gagal.

Contohnya orang Melayu jadi nelayan tangkap ikan, orang Melayu kerja sawah tanam padi tetapi bayangkan bila harga ikan melambung dan harga beras naik adak mereka menikmati kenaikan taraf hidup jawapannya tidak malah hidup mereka makin terhimpit.

Kenapa ? ini kerana aspek proses ekonomi yang paling penting iaitu pemasaran gagal diselesaikan. Bukan tidak dicuba tetapi gagal kerana korupsi.

Saya sendiri pernah terlibat menghantar dokumen lengkap kepada BPR bagaimana agensi di bawah Kementeri Pertanian yang sepatutnya membantu petani dalam aspek pemasaran sendiri korup dan menjahanamkan petani. Dan sudah tentu mereka yang terlibat ialah orang – orang yang dekat dengan kekuasaan.

Hujah dan pandangan setakat ini banyak tertempu kepada Bumiputera Melayu itupun faktanya sudah mengerikan belum lagi ditarik perhatian melihat Bumiputera Sabah dan Sarawak yang lebih menyedihkan. Sedangkan hakikat sebenar hasil negara (dari sumber alam) majoritinya adalah sumbangan dari tanah borneo itu.

Sasaran DEB memang bagus tetapi DEB gagal dari aspek teori ekonominya lagi dan diparahkan dengan perlaksanaan yang pincang. dan jika analoginya DEB itu umpama kenderaan yang ingin membawa kita kepada destinasi yang baik dan kini sudah 39 tahun kita menaiki kenderaan itu keadaanya kita bukan menghampiri destinasi tetapi keadaan lebih rumit dan kita seolah mengundur. Persoalanya kenapa kita harus terperangkap guna kenderaan yang sama ?

Adakah bangsa kita ini terlalu lemah dan masih dijajah mindanya dengan ketakutan – ketakutan yang tidak perlu ? Jika dibiarkan perkara ini berlaku maka teori putaran ganas kemiskinan pasti akan berlaku, dimana kita membentuk pewaris kita yang miskin dan akan lebih miskin dari ganerasi ke ganerasi.
Penyelesaianya ?

Kita perlu sedar hakikat masalahnya ialah kelompok kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.Jurang makin dalam ! Yang miskin ada dari semua latar kaum dan begitu juga yang kaya cuma jumlahnya mungkin tidak sama.

Agenda Ekonomi Malaysia yang di cetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadham dan dicernakan semula oleh pemikir – pemikir ekonomi meletakkan Agenda Ekonomi Ketuanan Rakyat. Rakyat miskin dibantu dan yang kaya harus mempunyai tanggungjawab sosial dari kekayaan mereka untuk sumbangan terhadap negara.

Jika kini melayu lebih banyak yang susah maka Melayulah yang akan lebih diberi perhatian. Perhatian dan peluang bukan atas nama kaum kerana jika atas nama kaum seperti hujah di atas Melayu yang dekat dengan kekuasaan sahajalah yang menikmati dan akan menjadi lebih kaya. Tetapi jika bantuan atas nama rakyat susah untuk di perkasakan maka ruang untuk elit politik dan kapitalis yang dekat dengan kekuasaan untuk ‘mencilok’akan dapat di elakkan.

Yang menentang Agenda Ekonomi Malaysia ini ialah kelompok yang selama ini ‘menghirup’kekayaan negara dengan muda atas nama bangsa dan hubungan mereka dengan kekuasaan.

Mereka inilah yang pula bersungguh sungguh mengelirukan rakyat khususnya melayu dengan gendang ‘ketuanan Melayu’, tetapi melihat senario terkini marhaen tidak akan menari lagi dengan ritma gendang ketuanan melayu ini.

Ayuh bangkit rakyat Malaysia bersama perhimpunan sejuta rakyat 6 Julai 2008, di Petaling Jaya untuk masa depan anak cucu kita yang lebih cerah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s