Bekas hakim dedah Dr. Mahathir pinda Perlembagaan kawal hakim

Posted by SM Maulana

(mStar Online) – Bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Azmi Kamaruddin mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu meminda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan kerana mahukan bidang kehakiman diletakkan di bawah kawalannya.


AZMI Kamaruddin menerima bayaran exgratia daripada Zaid Ibrahim di kediamannya, Kuala Lumpur hari ini.

“Saya percaya Perdana Menteri pada masa itu mahu menjadi diktator,” kata beliau hari ini selepas menerima bayaran exgratia daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, di kediamannya di sini.

“Beliau mahu meminda Perkara 121 yang menyediakan peruntukan pengasingan kuasa. Beliau sudahpun mengetuai Perundangan dan Eksekutif. Kini mahu meletakkan kehakiman di bawah beliau,” katanya.

Dengan menambah Dr. Mahathir sebagai “amat bijak” dan sentiasa mahu “membunuh dua burung dalam satu pukulan”, Azmi, 75, berkata, agenda bekas Perdana Menteri ketika itu adalah kerana berhadapan dengan kes membabitkan Tengku Razaleigh Hamzah yang penyokongnya mencabar keputusan pemilihan Umno.

“Dengan kehakiman di bawah beliau, beliau boleh meminta hakim melakukan apa yang beliau kehendaki. Saya pasti beliau akan menafikan ini,” katanya lagi.

Perkara 121 dipinda pada 1988, mengakibatkan bidang kuasa ditentukan oleh Parlimen.

Kerajaan memberikan bayaran exgratia kepada kesemua tiga hakim yang dipecat dan tiga lagi yang digantung daripada tugas semasa krisis itu.

Mereka yang dipecat adalah bekas Hakim Mahkamah Agung Datuk Seri George Seah, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Aba..

Tiga orang yang digantung tugas selama tiga bulan pula adalah Azmi, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh.

Dalam pada itu, Salleh yang turut dipecat daripada badan kehakiman pada 1988 berkata:

“Kalau anda musnahkan badan kehakiman, anda memusnahkan demokrasi dan kalau anda memusnahkan demokrasi, anda terjamin dalam pemerintahan diktator.”

Salleh, 79, berharap episod krisis kehakiman pada 1988 menjadi peringatan kepada generasi semasa dan akan datang untuk membimbing mereka ke arah keperluan untuk mempunyai sebuah sistem kehakiman yang kukuh dan bebas.

“Saya juga berharap krisis kehakiman pada 1988 akan berakhir dan ia akan kekal selama-lamanya dalam lipatan sejarah Malaysia, terutamanya dalam sejarah perundangan Malaysia,” katanya selepas menerima bayaran exgratia daripada Zaid Ibrahim, di kediamannya di sini hari ini.

Salleh berkata, pelajar undang-undang di negara ini, yang membuat tesis mengenai krisis kehakiman pada 1988, telah mendapat manfaat daripada episod ini dengan memperoleh ijazah, LLB atau Sarjana mereka.

Bagaimanapun, beliau berharap perkara itu tidak akan berulang di masa depan.

Ditanya mengenai bayaran exgratia, Salleh menyatakan penghargaannya kepada kerajaan yang baru dan Zaid kerana daya usaha yang diambil mereka.

“Pertama sekali saya ingin menyuarakan terima kasih saya kepada kerajaan dan Zaid yang cuba membawa perkara ini dan episod yang memalukan ini, kepada penyudahnya. Saya tahu amat sukar untuk kerajaan baru menghulurkan sepenuh kemaafan berhubung senario politik semasa,” katanya.

Salleh berkata, pengakuan kerajaan digabungkan dengan bayaran exgratia itu mewakili kompromi oleh kerajaan.

Beliau berkata, pada masa sama, tindakan itu juga merupakan langkah penting ke arah memulihkan semula badan kehakiman Malaysia kepada era kegemilangannya sebelum ini memandangkan semua orang tahu pendirian badan kehakiman hari ini.

“Tidak perlu untuk menghuraikan lebih lanjut tetapi saya berpendapat ia dalam lingkungan persepsi dan pengetahuan umum,” katanya.

Zaid ketika ditanya mengenai jumlah exgratia yang disampaikan melalui cek itu berkata, beliau tidak perlu mendedahkan jumlah itu dan ia dibuat sebagai penghormatan negara kepada jasa Salleh dalam badan kehakiman.

“Beliau merupakan lambang hakim yang berprinsip, bermaruah, berkebolehan tinggi dan berani dalam mempertahankan prinsip.

Beliau adalah simbol yang perlu dibanggakan,” kata beliau dipetik Bernama.

Dalam pada itu, Zaid berkata, beliau mengharapkan agar cadangan pindaan bagi Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan persepsi bahawa badan eksekutif mempunyai pengaruh terhadap institusi kehakiman berjaya dilaksanakan segera.

“Kalau Artikel 121 berjaya dipinda, maka itu sebenarnya sumbangan yang lebih bermakna kepada enam hakim yang terlibat dalam krisis 20 tahun lalu,” katanya.

“Saya amat berbesar hati kerana Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad juga bersetuju dengan perkara tersebut,” katanya.

Zaid berkata, hakim-hakim seharusnya mengutamakan maruah dan prinsip serta berani untuk membuktikan kebenaran demi kepentingan rakyat.

Katanya, bagi membuktikan ketelusan institusi kehakiman, lantikan hakim mesti dilakukan oleh badan bebas agar tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.

Ditanya sama ada pembaharuan yang dilakukan dalam sistem kehakiman itu nanti terutamanya dalam soal lantikan hakim, akan wujud pandangan negatif terhadap hakim-hakim sedia ada, beliau berkata, perkara itu tidak harus dibangkitkan.

“Kita lakukan ini untuk kebaikan rakyat dan negara. Perbaiki sistem hari ini untuk generasi akan datang.
“Hakim-hakim yang ada tidak perlu rasa tertekan dengan pembaharuan yang ingin dilakukan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s