Azmi: Biar CJ cadang pelantikan hakim

Tan Sri Azmi Kamaruddin, salah seorang Hakim Mahkamah Agung yang digantung tiga bulan semasa krisis kehakiman pada
1988 berkata, beliau lebih suka jika pelantikan hakim dibuat berdasarkan cadangan Ketua Hakim Negara.

Beliau berkata sekiranya Ketua Hakim Negara itu mempunyai sebarang cadangan, ia perlu diberikan perhatian kerana beliau sudah lama berhadapan dengan peguam di negara ini, selain bertanyakan pendapat hakim lain mengenai perkara itu.

“Saya berpendapat kalau Ketua Hakim Negara itu seorang yang baik, undang-undang hari ini pun biar dia usulkan kepada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemubual oleh Pengurus Besar Bernama Datuk Azman Ujang dalam rancangan Bersemuka Bersama Media yang disiarkan RTM1 semalam.

Beliau turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi mengenal pasti calon hakim sebelum mengusulkannya kepada Perdana Menteri.

“Ini memang bagus sebab suruhanjaya itu boleh mengkaji dengan mendalam. Kalau kita bagi seorang dua sahaja untuk menimbang sesuatu perkara itu memang susah, jadi lagi ramai, lagi banyak buah fikiran untuk ambil yang elok dan menolak perkara yang tidak elok.

“Tapi, baik macam mana pun cadangan suruhanjaya ini, pengakhirannya tetap terpulang kepada siapakah yang menjadi ahli jawatankuasa suruhanjaya itu, ahli jawatankuasa tersebut mestilah dari kalangan orang yang betul, kerana manusia ini sifatnya pelbagai tabiat,” katanya.

Beliau berkata Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan mesti diambil kira dalam usaha mereformasikan badan kehakiman kerana ia dapat membuktikan kerajaan adalah demokratik.

Ditanya mengenai kualiti dalam pemilihan hakim, Azmi berkata yang pertama, seseorang itu harus tahu undang-undang, suka menegakkan kebenaran dan tidak pernah menipu orang termasuk dengan keluarga sendiri.

Beliau turut ditanya adakah dalam tempoh 20 tahun semenjak krisis kehakiman pada 1988 berlaku, kredibiliti ataupun nama baik badan kehakiman negara ini telah berjaya dipulihkan.

“Saya rasa insya-Allah boleh kalau kita ikut prinsip-prinsip yang tertentu, macam bukan semua orang pas (lulus) undang-undang dapat kelas satu boleh jadi hakim yang baik. Tidak automatik begitu.

“Kekadang orang ni dia ingat dirinya boleh menjadi hakim, bila dia dah jadi hakim, dia tengok dia tak boleh main golf, dia tak seronok.

“Manusia ni macam-macam, tabiat dia memang tak boleh kita tentukan, masing-masing ada kelemahan, termasuk diri saya, tapi bila tau kelemahan, saya cuba elakkannya. Kita semua sepatutnya buat begitu. Itulah yang kita boleh buat,” katanya.

Beliau berkata punca orang ramai mengkritik dan mempertikaikan serta tidak menghormati institusi kehakiman kerana rakyat tahu bahawa hakim yang dipilih tidak elok.

Azmi juga berkata, sebelum krisis kehakiman tahun 1988, tidak pernah berlaku keadaan di mana hakim yang digantung kemudiannya disuruh bekerja semula seperti yang berlaku kepadanya, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan
Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh.

“Kami bertiga terperanjat. Tak pernah berlaku kerana tak patut pada hakim itu kerana nama dia sudah tercemar dan tak boleh dibetulkan lagi,” katanya.

Ketika ditanya perasaannya ketika diarah bekerja semula selepas digantung tugas, Azmi berkata beliau berasa tersepit dan keseorangan.

Malah, baginya beliau hanya “membuang masa” duduk di dalam institusi kehakiman.

Menurutnya, adalah mustahil bagi beliau meminta bantuan daripada hakim lain yang lebih junior ketika menghadapi masalah.

Azmi turut ditanya apa pendapat beliau terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pemilihan hakim tanpa memberikan sebab-sebab mereka dipilih.

“Sebagai orang Melayu, kita tak mahu kurang ajar kepada ketua negara kita, tetapi perdana menteri tidak boleh ambil kesempatan dengan keadaan ini,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s