Dua jam pertemuan Anwar-Yahya

Bekas pegawai menteri besar Selangor bertemu dua jam dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini selepas digantung jawatannya semalam.

Mohd Yahya Mat Sahri – yang dikenakan tindakan itu susulan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa – berkata pertemuan bermula selepas pukul 3 tadi melibatkan mereka berdua sahaja di suatu tempat yang enggan dinyatakan.

Beliau pada awalnya dijangka bertemu Anwar kira-kira 2 petang di pejabatnya di Seksyen 16, Petaling Jaya.

Bagaimanapun perubahan berlaku di saat akhir susulan kehadiran beberapa ketua bahagian di tempat yang sama.

Kira-kira 50 orang penyokong Yahya dan pemimpin bahagian berada di luar pejabat Anwar.

Kumpulan itu, yang bertambah sehingga 70 orang, hanya bersurai empat jam kemudian selepas kedatangan Yahya tidak lama setelah berakhir pertemuan dengan Anwar.

Media tidak dibenarkan masuk ke perkarangan pejabat Anwar sewaktu Yahya berucap kepada penyokongnya kira-kira 15 minit.

Dalam pertemuan itu, katanya dalam sidang media selepas itu, beliau turut mengemukakan beberapa tuntutan bahagian PKR hasil satu mesyuarat beberapa hari lalu.

Beliau juga mengemukakan cadangan untuk menambahbaikkan pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, Yahya menjelaskan tiada keputusan dicapai dalam pertemuan empat mata dengan Anwar.

Keputusan berhubung tuntutan-tuntutan itu akan dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri, yang dipengerusikan oleh Abdul Khalid, dalam masa terdekat.

Yahya, yang telah meletakkan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan PKR negeri dan pegawai tugas-tugas khas menteri besar semalam, akan hadir bersama Anwar di mesyuarat tersebut.

Tarikhnya bagaimanapun tidak dimaklumkan.

Sebelum itu, kira-kira 3 petang, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Dr Badrul Amin Baharom mengumumkan kepada orang ramai termasuk wartawan bahawa pertemuan Anwar dengan Yahya tidak diadakan di pejabat itu.

Beliau, yang juga ketua bahagian Sabak Bernam, berkata Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid selepas berjumpa Yahya.

Ditemui media selepas itu, Dr Badrul Amin berkata satu mesyuarat yang dihadiri 17 ketua bahagian dua, tiga hari lepas mengambil keputusan ingin membawa beberapa perkara kepada Anwar, antaranya pembelaan untuk aktivis Gerakan Reformasi dan rasa tidak puas hati mereka berhubung pelantikan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

Bekas pensyarah itu menambah, Yahya berperanan menyampaikan suara hati ketua-ketua bahagian ini dalam pertemuan dengan Anwar hari ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s