Usaha SAPP bawa usul undi tidak percaya PM masih bernyawa?


YONG Teck Lee berucap pada majlis jelajah di Kg Likas, Kota Kinabalu susulan tindakan parti itu mengisytiharkan pendirian tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri.

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Ke mana arah tuju Parti Maju Sabah (SAPP) sekarang selepas seminggu lalu ia mendakwa akan membawa tsunami politik kedua di peringkat nasional?

Seminggu sudah berlalu, tetapi penantian SAPP akan membawa kejutan tidak menjadi kenyataan pada Isnin lalu.

Sebaliknya, Timbalan Presiden SAPP, Datuk Eric Enchin Majimbun, yang juga salah seorang anggota Dewan Rakyat yang menjadi kepercayaan Yong, menegaskan, rancangan parti itu untuk meneruskan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih ‘bernyawa’.

“Rancangan kami untuk menggerakkan usul berkenaan akan diteruskan tetapi tidak semestinya dikemukakan oleh saya. Kemungkinan ada anggota lain yang akan berbuat demikian,” kata beliau di Kota Kinabalu semalam.

Oleh itu, jika bukan SAPP siapa lagi? Parti mana dan siapa yang akan berbuat demikian?

Adakah Yong dan SAPP keseorangan buat masa sekarang?

Pada minggu lalu, Yong ketika mengisytiharkan bahawa akan membawa usul berkenaan menegaskan beliau “tidak keseorangan dalam isu berkenaan.”

Selepas menegaskan beliau tidak keseorangan diri dalam isu berkenaan, mengapa beliau tidak mendapat sokongan untuk meneruskan hasrat SAPP di Dewan Rakyat.

Persoalan juga timbul sama ada SAPP dan Yong telah diperangkap dalam isu usul tersebut?

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat di sini semalam dipercayai telah memutuskan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada SAPP berikutan pendirian parti itu untuk membawa ataupun menyokong undi tidak percaya terhadap Abdullah.

BERITA TERDAHULU

SAPP: Beri surat tunjuk sebab antara tindakan ditimbang BN

KUALA LUMPUR: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat hari ini dipercayai telah memutuskan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada SAPP berikutan pendirian parti itu untuk membawa ataupun menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat.

mStar Online difahamkan perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengurusan BN di sini hari ini.

Selain itu, dua Ahli Parlimen SAPP yang tidak menghadiri sesi perbahasan usul kenaikan harga petroleum dan barangan semalam juga dipercayai akan diberikan surat tunjuk sebab.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang mempengerusikan mesyuarat itu hari ini tidak mengumumkan bentuk tindakan yang diputuskan.

Sebaliknya kata beliau, jawatakuasa itu menggariskan beberapa cadangan kepada Dewan Tertinggi BN mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap SAPP.

“Saya tidak dapat mengumumkan syor itu. Syor itu adalah syor spesifik yang kita buat. Kita akan kemukakan cadangan kepada Dewan Tertinggi dalam sedikit masa lagi,” kata beliau dipetik Bernama.

Mesyuarat itu dihadiri wakil kesemua parti komponen BN kecuali SAPP yang tidak dijemput.

Timbalan Ketua Perhubungan Umno, Sabah Datuk Shafie Apdal pula berkata, dua Ahli Parlimen dari Parti Maju Sabah (SAPP) – Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Hui dari Tawau harus diberi masa untuk mendengar penjelasan mereka kerana gagal hadir pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Shafie berkata, secara peribadi beliau sendiri tidak tahu sebab mereka tidak hadir kerana tiada makluman mengenai perkara itu.

“Kita tidak boleh mengambil tindakan berlandaskan ketidakhadiran mereka, kemungkinan ada satu perkara yang tidak dapat dielakkan… mesti ada satu penjelasan,” kata beliau di Melaka petang ini.

Shafie berkata, Ketua Whip BN akan menghantar surat kepada kedua-dua anggota BN berkenaan bertanyakan sebab mereka tidak hadir.

Ditanya reaksi masyarakat Sabah mengenai tindakan SAPP yang digembar-gemburkan membawa usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah, Shafie berkata, tindakan parti SAPP itu agak keterlaluan dan tidak wajar dilakukan.

“Kita sedar suara yang diutarakan SAPP itu adalah suara dari masyarakat (Sabah) tentang keperluan prasarana yang ada,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BN itu diadakan sehari selepas Dewan Rakyat meluluskan usul berkaitan kenaikan harga petroleum dan barangan di tengah-tengah pengumuman Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee pada minggu lalu bahawa pihaknya akan membawa usul undi tidak percaya ke atas Abdullah di Parlimen, semalam.

Usul berkenaan tidak dibawa malah dua wakil rakyat SAPP yang menjadi harapan Yong tidak berada di Dewan Rakyat ketika usul kenaikan harga petroleum dan barangan dibahas dan diluluskan semalam.

Malah kedua-dua wakil rakyat berkenaan tidak kelihatan di Dewan Rakyat sepanjang hari ini.

Mereka dikatakan telah pulang ke Kota Kinabalu semalam tanpa mengambil bahagian dalam sesi sidang Parlimen atas alasan menerima ugutan mengancam keselamatan.

Dewan Rakyat telah meluluskan usul kenaikan harga petroleum dan barangan dengan kiraan undi 129 menyokong dan 78 menentang. .

SAPP merupakan antara 14 parti komponen BN.

SAPP memutuskan pendiriannya minggu lalu. Bagaimanapun mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi BN Khamis lalu tidak membuat apa-apa tindakan melainkan mahu meminta penjelasan rasmi SAPP.

Bagaimanapun SAPP menegaskan semula pendiriannya sehari kemudian.

Sementara itu, Najib yang ditanya sama ada Jawatankuasa Pengurusan BN turut mencadangkan supaya SAPP diberikan surat tunjuk sebab, hanya berkata: “Saya tidak akan menyatakan keputusan kita. Itu syor kepada pucuk pimpinan tertinggi BN.”

Kata beliau, mesyuarat hari ini bersetuju supaya kerajaan memberi perhatian serius serta keutamaan kepada permasalahan yang membabitkan kepentingan penduduk negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apa jua isu yang dibangkitkan melibatkan kepentingan penduduk di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia hendaklah diberi perhatian serius supaya rakyat rasa yakin terhadap BN,” katanya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, tarikh mesyuarat Dewan Tertinggi BN belum ditetapkan lagi.

“Kita perlu melihat tarikh yang sesuai kepada Perdana Menteri yang perlu mempengerusikan mesyuarat itu,” katanya.

Antara pemimpin BN yang menghadiri mesyuarat hari ini ialah Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden Parti Progresif Demoratik Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan; pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRs) Datuk Seri Joseph Kurup and Presiden Pafrti Liberal Demokratik (LDP) Datuk V. K Liew.

Kecuali Bernama, RTM dan agensi berita asing, sidang akhbar Najib itu tidak dihadiri media tempatan yang membantah tindakan pentabiran Parlimen melarang mereka membuat liputan di kawasan lobi Parlimen mulai hari ini.

BERITA TERDAHULU

(Mutakhir) PETALING JAYA: Kini giliran Barisan Nasional (BN) pula mahu ‘memburu’ Parti Maju Sabah (SAPP) yang memberontak terhadap pucuk kepimpinan?

Selepas kurang 24 jam Dewan Rakyat meluluskan usul kenaikan harga petroleum dan barangan dengan kiraan undi 129 menyokong dan 78 menentang, Jawatankuasa Pengurusan BN dijadual mengadakan mesyuarat tengah hari ini di Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu yang akan dipengerusikan oleh Ketua Whip BN, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dipercayai akan memutuskan bentuk tindakan – antara lain memberi surat tunjuk sebab kepada SAPP berhubung pendiriannya tidak percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri.

SAPP merupakan antara 14 parti komponen BN.

SAPP memutuskan pendiriannya minggu lalu. Bagaimanapun mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi BN Khamis lalu tidak membuat apa-apa tindakan melainkan mahu meminta penjelasan rasmi SAPP.

Bagaimanapun SAPP menegaskan semula pendiriannya sehari kemudian.

Dalam pada itu, dua Ahli Parlimen SAPP iaitu Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) tidak kelihatan di Dewan Rakyat.

Mereka dikatakan telah pulang ke Kota Kinabalu semalam tanpa mengambil bahagian dalam sesi sidang Parlimen atas alasan menerima ugutan mengancam keselamatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s