MB Jelaskan Dakwaan Beliau Jawab Bagi Pihak BPR

SHAH ALAM, 24 Jun – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan yang beliau membuat kenyataan bagi pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung siasatan dakwaan salah guna kuasa pegawai kanan di pejabatnya.

Pada sidang parlimen hari ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa Menteri Besar telah membuat kenyataan bagi pihak BPR berhubung siasatan itu.

Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak cuba mengguna pakai Peraturan 36 (12) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk menjelaskan keadaan sebenar tetapi tidak diberi keizinan oleh Timbalan Speaker.

Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan media bagi menjelaskan keadaan sebenar memberitahu, pada 11 Jun lalu, Khalid telah membuat satu kenyataan bahawa siasatan BPR ke atas pegawai kanan yang dikaitkan dengan salah guna kuasa pengagihan kontrak kutipan sampah di Petaling Jaya, tidak mempunyai unsur rasuah.

Ia berpandukan kenyataan Pengarah BPR Selangor dalam suratnya kepada Khalid pada tarikh sama menyatakan siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai dan memberi nasihat berkenaan ketelusan dan kebertanggungjawaban khususnya berkaitan surat menyurat dan pengeluaran surat sokongan.

Pejabat Menteri Besar dalam suratnya pada 16 Jun berterima kasih kepada BPR dan menjemput badan itu menempatkan seorang pegawai bagi siasatan lanjut di samping membuat kajian mengenai pelaksanaan prosedur pentadbiran.

Kata kenyataan itu lagi, walaupun siasatan BPR telah dibuat, adalah perlu untuk mengkaji semula segala urusan dan komunikasi yang telah dikendali pegawai berkenaan.

“Untuk melakukan kajian terperinci yang adil, kerajaan negeri telah membuat keputusan menggantung (tugas) pegawai tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, pegawai berkenaan meletakkan jawatan melalui surat yang difaks semalam.

“Pejabat Menteri Besar memandang serius tentang isu yang melibatkan ketelusan dan bertanggungjawaban. Sebab itu Menteri Besar Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pegawai berkenaan walaupun semua sedia maklum bahawa ianya bukanlah tindakan popular di peringkat parti,” kata kenyataan itu. –/suaraselangormaju

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s