Minyak: Abdullah gesa rakyat tabah

Oleh Bernama
Khamis, 26 Jun 2008

KL: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat supaya tabah dan bersatu hati dalam menggembleng tenaga bagi menangani krisis kenaikan harga minyak dan komoditi kerana ia merupakan kemelut yang bakal memberi impak negatif bukan hanya dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan.

Usaha harus difokuskan ke arah mendepani cabaran ini dan melakukan penyesuaian, bukannya membenarkan pemimpin dan kumpulan tertentu menangguk di air keruh dan mengapi-apikan sentimen rakyat dengan janji-janji palsu, kata Perdana Menteri semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK-9 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata kenaikan harga minyak sedunia merupakan cabaran terbesar yang menghimpit ekonomi negara dalam menempuh tempoh akhir RMK-9.

“Di kala saya dan pemimpin kerajaan yang lain bermesyuarat setiap minggu bagi mencari cara-cara untuk meringankan beban rakyat, kumpulan-kumpulan tadi (yang menangguk di air keruh) pula memikirkan kaedah untuk mengaburi mata rakyat.

“Saya percaya rakyat boleh melihat yang mana benar dan yang mana palsu. Saya percaya rakyat bijak menilai langkah-langkah yang diambil bagi memelihara kepentingan rakyat dan bagi menjaga kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Saya percaya pada suara dan hati budi rakyat,” katanya.

Abdullah berkata hakikatnya, kenaikan harga minyak merupakan satu fenomena global dan antara sebab utama yang membawa kepada kenaikan harga minyak yang melampau pada waktu ini adalah keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu.

Serangan ke atas Iraq oleh Amerika Syarikat pada tahun 2003, melumpuhkan sebuah daripada negara pengeluar minyak utama dunia, dan menimbulkan keadaan kacau bilau di rantau Timur Tengah yang masih belum reda, katanya.

Beliau berkata serangan ke atas Afghanistan sebelum itu turut membawa impak negatif kepada kestabilan harga minyak di pasaran dunia dan paling mutakhir, ancaman Israel menyerang Iran turut menyumbang kepada ketegangan geopolitik yang membawa kepada kenaikan harga minyak.

Selain itu, katanya, permintaan yang tinggi oleh negara tertentu seperti China dan India, di samping keengganan negara-negara Opec untuk menaikkan tahap pengeluaran minyak secara ketara, juga merupakan antara penyebab utama yang membawa kepada kenaikan harga minyak.

“Keadaan ini diburukkan lagi oleh kegiatan spekulator pasaran minyak di pusat kewangan antarabangsa seperti New York dan London, yang turut menyuntik ketidaktentuan dalam suasana harga minyak yang semakin meruncing,” jelas Perdana Menteri.

Abdullah berkata di samping kenaikan harga minyak yang melampau, ekonomi negara turut dihimpit oleh keadaan pasaran kewangan sedunia yang masih belum pulih daripada krisis “sub-prima”.

Malah, katanya, ramai pakar ekonomi menjangka krisis ini mampu membawa kepada kemelesetan ekonomi sedunia, yang pastinya akan turut mengheret ekonomi negara Malaysia ke dalam suasana gawat.

Perdana Menteri berkata hakikatnya, negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang cukup genting, akibat daripada faktor-faktor luaran yang berada di luar kawalan.

“Untuk mengekalkan keupayaan negara bagi mendepani cabaran-cabaran yang telah saya sebut tadi, maka kerajaan perlu berani membuat keputusan serta cekal melakukan perubahan, demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara dalam jangka masa panjang.

“Ini termasuk keputusan baru-baru ini untuk menyusun semula subsidi minyak dan gas di dalam negara,” katanya.

Abdullah berkata kerajaan amat sedar bahawa langkah itu akan meningkatkan beban sara hidup rakyat, tetapi langkah itu perlu, agar subsidi yang dimaksudkan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukannya.

Selain itu, langkah berkenaan dapat memberi fleksibiliti kepada kewangan negara dalam berhadapan dengan risiko berlakunya kemelesetan ekonomi sedunia dalam waktu terdekat ini.

Beliau berkata dalam suasana kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor luaran, amat sukar bagi sesebuah negara seperti Malaysia untuk melindungi rakyatnya secara sepenuhnya daripada impak negatif yang bersifat global.

Sungguhpun begitu, kerajaan terus komited untuk melaksanakan segala yang termampu bagi meringankan beban rakyat dan memelihara kualiti hidup yang baik, katanya.

Perdana Menteri mengajak rakyat bersama-sama memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk menjayakan Misi Nasional bagi meneruskan pembangunan yang Malaysia capai serta mengharungi cabaran yang bakal dilalui.

“InsyaAllah, hasrat kita untuk membina sebuah negara yang selamat, aman dan makmur pastinya akan tercapai dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh serta dengan kerjasama yang erat di kalangan kita semua,” tegas beliau.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s