Dr. Mahathir sangkal dakwaan, anggap Hakim Chin mahu ‘tunjuk baik’

(mStar Online) – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyangkal dakwaan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Ian Chin tentang campur tangan beliau dalam badan kehakiman ketika memegang jawatan Perdana Menteri sambil menegaskan, hakim itu sebenarnya cuba menunjuk baik untuk mengelak daripada diambil tindakan kerana melanggar kod etika kehakiman.

Chin, kata bekas Perdana Menteri itu, sedar bahawa beliau akan mendapat “nama baik” daripada kerajaan jika mengutuk dan mencacinya kerana ia selari dengan pendirian kerajaan hari ini.

Kata Dr. Mahathir, berbaik-baik dengan kerajaan sangat penting bagi Chin kerana beliau mungkin diambil tindakan setelah satu laporan polis mengenai salah laku beliau sebagai hakim dalam satu kes difailkan pada Jun 2005 dan pada Mac 25 lalu,
Mahkamah Persekutuan pula membuat penghakiman terhadap kes yang sama yang mengukuhkan lagi asas laporan polis terhadap hakim itu.

“Tuduhan beliau terhadap saya yang dibuat pada 7 Jun, beberapa hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan itu menunjukkan betapa terdesaknya beliau untuk mengalih pandangan pihak yang berkuasa daripada kes salah laku beliau sendiri.

“Nampaknya tindakan Chin itu memang tepat apabila beberapa menteri dan Perdana Menteri dengan pantas menerima tuduhan beliau terhadap saya itu sebagai sesuatu yang benar,” kata beliau di sini.
Kelmarin, Chin mempertahankan dakwaannya bahawa Dr. Mahathir pernah membuat ugutan secara terlindung terhadap hakim yang membuat keputusan yang tidak menggembirakan beliau.

Dalam kenyataannya, Chin berkata jelas sekali bahawa semasa Dr Mahathir menghadiri satu persidangan hakim pada 1997, beliau “tidak gembira dengan beberapa keputusan mahkamah.”

Katanya kehadiran Dr Mahathir pada persidangan itu “bukan untuk mendengar perkara yang ingin disuarakan oleh hakim atau berbincang dengan mereka.”

“Beliau datang untuk memberitahu hakim apa yang beliau mahu serta betapa dukacitanya beliau dan dengan gayanya, beliau menyatakan ancaman secara terselindung melalui kata-kata yang bermaksud demikian, di sana sini,” kata Chin.

Chin mendakwa Dr. Mahathir juga cuba mempengaruhi hakim yang menghadiri persidangan itu tentang bagaimana mereka patut membuat keputusan.

Justeru, jelas Dr. Mahathir, dakwaan Chin bahawa ketika kepimpinannya para hakim dikehendaki menghadiri program yang disifatkannya sebagai “boot camp” untuk mengindoktrinasi peserta sebenarnya kursus Tata Negara yang pernah disertai oleh puluhan ribu kakitangan awam, eksekutif swasta dan ahli politik tanpa sebarang masalah.

Dr. Mahathir mendedahkan, laporan polis terhadap Chin dibuat berikutan kegagalan beliau untuk menarik diri daripada mendengar satu kes di mana beliau dan keluarga beliau mempunyai kepentingan.

Dalam kes itu, katanya, Chin telah membuat penghakiman yang seolah-olah membalas dendam terhadap individu tertentu yang terlibat dengan penahanan bapa dan abangnya.

Sebagai seorang hakim, tambah beliau, Chin sepatutnya sedar bahawa tindakan beliau itu bertentangan dengan kod etika kehakiman, tetapi beliau sebaliknya bertindak menggunakan kedudukannya itu untuk kepentingan sendiri.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau kecewa anak beliau, Datuk Muhkriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun enggan mengikut langkah beliau keluar Umno, Mahathir berkata:

“Dia berhak membuat keputusan sendiri atas sebab-sebab tertentu. Saya tidak pernah menggunakan paksaan, walaupun ke atas ahli keluarga saya sendiri.”

Mengenai sama ada kedudukan beliau sebagai pengerusi beberapa badan termasuk Petronas kini tergugat berikutan keputusan kerajaan menamatkan kontrak Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa setelah turut keluar Umno, Dr. Mahathir berkata, setakat ini tidak ada sebarang petunjuk beliau akan mengalami nasib serupa.

“Tetapi saya lebih berprofil tinggi. Mungkin kerajaan tidak mahu mencari masalah,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s