Gerakan rayu projek monorel, PORR diteruskan

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau telah merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menimbang semula peruntukan untuk memulakan proses pengambilan balik tanah bagi projek monorel dan Jalan Lingkaran Luar (PORR) di Pulau Pinang.

Langkah tersebut, katanya, akan membolehkan proses pengambilan balik tanah dimulakan sebaik sahaja sistem dan jajaran bagi kedua-dua projek tersebut dipersetujui oleh ketua menteri dan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dr Koh yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang berkata, beliau membuat rayuan tersebut kepada perdana menteri sewaktu mesyuarat majlis tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Katanya, Gerakan sentiasa menyokong pelaksanaan PORR sebagai infrastruktur untuk mengatasi masalah lalulintas dan sistem monorel sebagai tulang belakang sistem pengangkutan awam di negeri tersebut.

“Kedua-duanya amat penting bagi pembangunan ekonomi dan kualiti hidup di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dua tahun lalu, kerajaan negeri di bawah BN telah bersetuju dengan jajaran bagi projek PORR.

Perbincangan aktif

“Kita telah mengadakan perbincangan aktif dengan kerajaan pusat mengenai jajaran dan sistem untuk projek monorel tersebut.

“Peruntukan tertentu telah disediakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) oleh kerajaan pusat pada 2006 untuk tujuan pengambilan balik tanah dan kos awal yang lain bagi kedua-dua projek tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, tegas Dr Koh, laporan media sejak tiga bulan yang lalu telah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri yang baru di bawah Pakatan Rakyat mempunyai idea yang lain mengenai kedua-dua projek tersebut.

“Pertamanya, mereka nampaknya lebih mendengar kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu projek PORR.

“Kedua, mereka juga nampaknya mempunyai idea yang bercanggah mengenai jenis sistem transit cepat yang sesuai untuk Pulau Pinang,” tegasnya.

Sebelum itu, katanya, Ketua Menteri baru, Lim Guan Eng, telah menyatakan beliau cenderung kepada sistem pengangkutan bawah tanah yang “juga boleh menangani masalah banjir”.

Isyarat mengelirukan

Kemudian, kata Dr Koh lagi, Lim mengadakan satu sidang akhbar bersama dengan salah sebuah syarikat yang membida projek monorel menggunakan sistem laluan atas.

Katanya, Lim telah memberi gambaran bahawa beliau menyokong bidaan tersebut, walaupun kerajaan pusat masih dalam proses atau sedang menilai bidaan-bidaan yang lain.

Tindakan Lim tersebut, tambahnya, mungkin telah menghantar isyarat yang mengelirukan kepada kerajaan pusat.

“Ini kerana bagi projek-projek persekutuan, kerajaan pusat biasanya mengambilkira pandangan-pandangan dan memerlukan kerjasama rapat dari kerajaan negeri.

Oleh itu, tegas Dr Koh, adalah penting bagi kerajaan Pulau Pinang memutuskan apa yang dikehendakinya berhubung kedua-dua projek tersebut, kemudiannya bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s