Catatan Pemimpin: 100 Hari Pakatan Rakyat: Kepedulian Terbukti

OLEH: Zuraida Kamaruddin

SETELAH genap 100 hari pemerintahan baru Negeri Selangor dibawah pimpinan Pakatan Rakyat, penduduk negeri ini mula merasakan nikmatnya ditadbir oleh kepimpinan yang menjadikan ketuanan rakyat sebagai fokus utama.

Pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor ternyata dinamik dan mempunyai kepedulian yang tinggi kepada rakyatnya.

Komitmen ini terserlah dengan pelbagai pembaharuan dan pendekatan yang diambil bagi meyakinkan rakyat secara keseluruhan bahawa mereka telah membuat keputusan yang tepat dan bijak pada pilihanraya umum yang lepas.

Ianya jelas dibuktikan dengan 7 pengumuman awal yang dibuat oleh Y.A.B Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor pada perhimpunan khas sempena Sambutan 100 Hari Pemerintahan Kerajaan Baharu Selangor yang berlangsung di Stadium Shah Alam, 20 Jun lepas.

Antara yang paling hangat dibincang dan diperkatakan ialah pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada seluruh isi rumah di Selangor.

Walaupun isu ini banyak dipolitikkan dan dipolemikkan oleh pelbagai pihak yang cemburu serta pelbagai usaha dirancang bagi menggagalkannya namun jaminan telah diberikan oleh kerajaan bahawa pemberian air percuma tetap akan dilakukan di negeri ini demi meringankan beban rakyat yang makin terhimpit akibat kenaikan pelbagai barang keperluan rumah setelah kerajaan pusat menaikkan harga petrol dan diesel baru-baru ini.

Yang kedua, kerajaan negeri juga telah mewujudkan TAWAS atau Tabung Warisan Anak Selangor. Melaluinya, kerajaan negeri memberi tabungan sebanyak rm100 bagi setiap anak Selangor yang dilahirkan pada tarikh 1 Januari 2008. Ianya juga terbuka kepada ibu bapa warga Selangor yang melahirkan anak di luar negeri Selangor.

Dengan bayaran pendaftaran rm10, pelaburan ini dapat dicairkan setelah 1 tahun dan setiap anak tadi akan menerima tunai rm110. Namun, mereka boleh memilih untuk mengekalkan wang yang ada dan akhirnya pada usia 18 tahun mereka akan menerima tunai sebanyak rm1500.

Seterusnya,kerajaan negeri telah mengumumkan untuk memberi hadiah tunai sebanyak rm1000 kepada setiap anak selangor yang mendapat tempat di IPTA atau IPTS dalam peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Ini sekurang-kurangnya dapat menyuntik semangat dan meringankan sedikit tanggungan untuk membeli keperluan asas semasa mendaftar di IPT masing-masing.

Keempat, keprihatinan kerajaan ini turut meliputi kebajikan warga emasnya. Oleh itu, Skim Takaful dan Perubatan Percuma untuk semua Warga Emas telah dikemaskini dengan insentif yang lebih menarik. Sebanyak RM3500 diperuntukkan untuk setiap wasi yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

RM500 akan diberi secara tunai dalam tempoh 24jam setelah kematian dilaporkan dan bakinya akan menyusul. Program ini layak dinikmati oleh warga emas yang bermastautin sekurang-kurangnya 1 tahun di negeri bertuah ini.

Seterusnya, pihak kerajaan negeri juga telah mengumumkan progran OSCC atau pusat sehenti krisis yang ditubuhkan di hospital kerajaan khas untuk menangani masalah ataupun krisis domestik yang dialami oleh pasangan berkelamin secara keseluruhan.

Selain itu, memandangkan selama ini anak-anak pekerja ladang di seluruh Selangor sering ketinggalan dan diabaikan pelajarannnya, maka Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang turut diwujudkan. Asrama penempatan untuk anak-anak ini akan dibina dan pendidikan mereka akan dijaga selengkapnya.

Bagi melaksanakan perkara-perkara di atas, pihak kerajaan negeri akan mempergiat usaha dan program memaksimakan peningkatan hasil mineral dan batuan yang selama ini diberikan secara kontrak kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Hasil yang dikutip pula hanya dalam bentuk royalti yang sangat minima.

Namun dengan usaha yang dijalankan secara bersepadu oleh agensi kerajaan negeri sendiri maka hasil dalam bentuk kewangan dan pendapatan negeri Selangor ini akan meningkat tinggi sebagaimana sepatutnya.

Oleh itu, kini terbukti walaupun kerajaan Negeri Selangor diasak dan dihimpit dari segenap penjuru oleh golongan tertentu namun fokus utama dan kepedulian kepada rakyat masih menjadi keutamaan pemerintah negeri ini. Melalui pencapaian di atas maka 100 hari pertama ini boleh dianggap sebagai ujian yang telah dilepasi dengan sangat cemerlang. Tahniah Kerajaan Negeri Selangor!

**Penulis ialah Ketua Wanita KeADILan dan juga merupakan Ahli Parlimen Ampang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s