GMI tuntut dakwaan tahanan ISA diseksa segera disiasat

(Harakah) – Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengutuk keras kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan secara berterusan yang dibenarkan oleh ISA, tegas Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam majlis penyerahan memorandum kepada ketua pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di hadapan pintu depan parlimen semalam.

“Kami menuntut siasatan terhadap tindakan melampau ini segera dilakukan,” katanya lagi.

Bersempena dengan “International Day in Support of Victims of Torture” semalam, GMI dan rakan-rakan lain mahu menarik perhatian parlimen tentang penyeksaan terhadap seorang mangsa ISA, Sanjeev Kumar Krishnan.

“Mangsa diseksa, ditendang, dibelasah teruk oleh anggota polis cawangan khas di bahagian badan dan kepala sama ada dengan kaki, objek keras mahupun botol berisi air. Malah turut dipaksa minum air kencing sendiri selain kemaluan dipukul dan dubur dijolok dengan objek keras,” jelasnya kepada pemberita.

Lebih malang lagi, menurut isteri Sanjeev, Sharimila a/p Uthiakumar, beliau kini dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.

“Persoalannya, mengapakah beliau dihantar ke hospital yang dikhaskan untuk pesakit mental? Adakah pihak pengurusan Kamunting cuba menutup sesuatu daripada kita semua?” soal Syed Ibrahim.

Seterusnya, GMI turut mengecam pencabulan hak asasi yang secara terus-terusan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri yang mengarahkan supaya melanjutkan tempoh tahanan ISA tanpa sebab-musabab yang boleh diterima akal, katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa terdapat dua mangsa ISA, Mat Sah Mohd Satray dan Shamsuddin Sulaiman yang telah ditahan sejak 2002, dituduh sebagai anggota Jemaah Islamiah (JI) serta didakwa mengancam keselamatan negara.

“Satu tuduhan yang berat walaupun hingga ke hari ini masih tiada sokongan bukti. Tambahan pula, tempoh penahanan selama enam tahun dilanjutkan lagi selama dua tahun oleh Menteri Dalam Negeri tanpa alasan konkrit,” kata beliau penuh kesal.

Justeru, GMI menggesa parlimen, khususnya ahli parlimen Pakatan Rakyat mempersoalkan penyeksaan yang dibenarkan berleluasa di bawah ISA tanpa sedikitpun rasa bertanggung jawab di pihak kerajaan.

“Tindakan menahan seseorang tanpa bicara adalah satu tindakan yang menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.
“Penahanan di bawah ISA adalah satu kezaliman, apatah lagi diseksa dengan sebegitu rupa. Tanpa proses mahkamah dan pembuktian yang sebenar di bawah akta ini, ruang untuk salah guna kuasa terbuka luas,” tegas beliau.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s