Anwar berlindung di Kedutaan Turki

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Naib Presiden Azmin Ali mendedahkan Anwar berbuat demikian demi keselamatan dirinya.

“Beliau telah dihantar ke sana sejak jam 6 pagi tadi. Tidak siapa pun yang boleh menziarahi beliau kecuali isteri dan anak-anaknya,” kata Azmin.

Katanya, tidak dapat dipastikan sampai bila Anwar akan berlindung di kedutaan tersebut.

Dalam sidang akhbar sebelumnya, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, usaha terbaru untuk membabitkan Anwar dalam tuduhan liwat ekoran laporan polis oleh bekas sukarelawan parti itu, menunjukkan usaha lebih serius oleh pihak-pihak tertentu untuk menutup mulutnya.

Katanya, Anwar telah menjadi sasaran bukan sahaja pembunuhan politik tetapi juga menerima ancaman terhadap nyawanya.

“Kami (dalam PKR), dan saya sendiri, telah menerima maklumat bahawa ini adalah satu percubaan bukan sahaja untuk membunuh karier politiknya, tetapi jika boleh, membunuh beliau,” kata Syed Husin dalam satu sidang akhbar di Hotel Quality di Shah Alam.

Katanya, pihak parti telah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keselamatan Anwar.

Menurut beliau, percubaan tersebut juga mungkin disebabkan oleh kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan seperti yang war-war Anwar sejak kebelakangan ini.

Semalam, pembantu khas Anwar – Saiful Bukhari Azlan, telah membuat laporan polis, mendakwa ketua umum PKR itu telah meliwatnya.

Anwar bagaimanapun menafikannya dan berkata ia adalah satu rekaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk “menyerangnya” sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung salahlaku,termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999.

Kenyataan Anwar

Sementara itu, dalam kenyataannya yang dikeluarkan petang tadi, Anwar berkata beliau telah dibawa ke Kedutaan Turki awal pagi tadi demi keselamatan dirinya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menawarkan bantuan kepadanya dalam masa yang memerlukan ini.

Katanya, beliau juga terhutang budi kepada Duta Turki yang bersedia menyediakan perlindungan untuk dirinya di kedutaan tersebut.

Anwar berkata, sejak pilihanraya umum 8 Mac lalu, pelbagai sumber-sumber yang layak dipercayai dari dalam kerajaan dan perisikan tentera telah memaklumkan kepadanya bawa ejen-ejen tertentu dari dalam kepimpinan Barisan Nasional telah memulakan plot untuk membawa mudarat kepada dirinya atau keluarganya atau penyokongnya,

Tindakan tersebut, katanya, bertujuan untuk mengekang rakyat dan menamatkan perubahan-perubahan yang sedang berlaku di Malaysia.

Katanya, walaupun wujud ancaman untuk menutup mulutnya, beliau berhasrat untuk mendedahkan bukti baru, yang menurutnya, membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam perbuatan jenayah mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998.

Oleh itu, katanya, dakwaan yang dibuat terhadapnya semalam, adalah tidak lebih daripada ulangan apa yang berlaku pada 1998 apabila beliau dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri, dipenjara dan dipukul, dan kemudiannya didakwa dan disabit oleh mahkamah kangaroo bagi jenayah yang tidak pernah dilakukannya.

Beliau mendakwa kepimpunan BN yang korup melakukan semua itu dengan memperalatkan kuasa yang ada termasuk menguasai badan kehakiman, pasukan polis dan media arus perdana.

Tindakan yang sama, tegas Anwar, diulangi sekali lagi hari ini untuk menekan kuasa-kuasa reform dan pembaharuan yang tercetus daripada pilihanraya 8 Mac lalu.

“Saya ingin memberi jaminan kepada keluarga saya, rakan-rakan dan para penyokong saya di Malaysia bahawa saya selamat dan kekal komited untuk meneruskan perjuangan bagi negara Malaysia yang bebas dan adil,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s