Anwar disembunyikan demi keselamatan diri – KeADILan

Intan Abdullah – Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) – Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali menegaskan tindakan diambil parti itu bagi menyembunyikan Ketua Umumnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah sebagai melindungi beliau daripada sebarang tindakan yang tidak diingini.

Katanya, berdasarkan pengalaman yang terjadi kepada Anwar sebelum ini beliau percaya tiada suatu jaminan perlindungan yang akan diberikan sekiranya beliau dipanggil untuk membantu siasatan oleh pihak berkuasa.

“Kita yakin keselamatan beliau tidak akan terjamin kerana terdapat usaha pihak tertentu yang melemparkan tuduhan ini untuk menjatuhkan karier politik Anwar,” katanya ketika ditemui selepas keluar memboikot sidang Dewan Rakyat pagi tadi.

Tambahnya, pihak KeADILan kini sedang mengambil langkah secara terkawal bagi mengelakkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu berdepan dengan pengalaman yang sama semasa dituduh terlibat dengan kes liwat dan rasuah sebelum ini.

“Bagaimanapun, penjelasan terperinci mengenai tindakan kami menyembunyikan Anwar tidak dapat diperincikan di sini,” katanya.

hal tersebut timbul selepas satu laporan polis dibuat terhadap Anwar selepas didakwa meliwat seorang pembantunya.

Laporan tersebut dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan, berusia 23 tahun di Balai Polis Jalan Travers jam 6 petang semalam.

Sejurus selepas itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Muhammad Sabtu Osman mengesahkan laporan tersebut dibuat.

Menurut sumber, Anwar telah menemui beberapa pemimpin parti dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan lewat malam tadi.

Pada masa sama, petang semalam KeADILan telah mengirimkan SMS yang mengatakan polis telah menahan pembantu Anwar, Saiful Bukhari petang semalam bagi memaksanya membuat laporan polis bahwa dia diliwat oleh Anwar.

Tambahnya, polis juga dijangka akan menangkap Anwar tidak lama lagi.

Terbaru, Anwar pula dalam satu blognya berkata beliau akan segera keluar dari bangunan kedutaan Turki jika ada jaminan tegas pemimpin negara tentang keselamatannya.

“Sebaik ada jaminan keselamatan diri dan keluarga, kami akan segera pulang,” katanya.

“Meskipun layanan di sini agak lumayan, tidak mungkin sama dengan keselesaan di rumah.” katanya.

Penasihat KeADILan itu berkata, beliau dilarang mengadakan pertemuan dengan media atau rakan-rakannya di kedutaan itu kecuali anggota keluarganya, termasuk Presiden parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Dan tidak diizinkan sebarang pertemuan dengan media atau sahabat. Hanya Azizah dan anak-anak dibenar menziarah saya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Parti KeADILan Rakyat memutuskan untuk ‘menyembunyikan’ Ketua Umumnya di tempat yang selamat kerana nyawanya dalam bahaya.

Timbalan Presiden KeADILan, Syed Husin Ali berkata, apa yang berlaku bukan sahaja satu cara untuk membunuh politik Anwar tetapi “kalau boleh untuk membunuh beliau sendiri”.

Menurutnya, keputusan untuk meletakkan Anwar di tempat selamat dibuat oleh parti dan bukannya keputusan Anwar sendiri.

Katanya, Anwar menafikan dakwaan liwat terhadapnya. Syed Husin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “satu percubaan yang paling jelik dan hina”.

Manakala Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga berkata nyawa Anwar berada dalam bahaya.

“Kita akan bincang dengan peguam. Apa yang beliau hadapi adalah ancaman kematian. Perkara ini serius. Ini merupakan konspirasi politik yang kedua dalam negara kita,” katanya.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dipecat dari kerajaan pada 1997 kerana didakwa menyalah guna kuasa dan terbabit dalam perbuatan liwat.

Pada 1999, beliau dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salah guna kuasa dan pada tahun 2000, dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat.

Bagaimanapun, pada 2004, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman tersebut dan membebaskan Anwar.

Anwar mendakwa tuduhan terhadapnya itu merupakan satu konspirasi politik, tetapi kerajaan menafikannya. – mns_

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s