Krisis Politik Ancam Ekonomi: Kadir Jasin

DALAM kesibukan dan keghairahan kita disajikan dengan konspirasi politik dan dakwaan jenayah sensasi, suatu berita buruk yang hampir-hampir tidak dipedulikan adalah keadaan inflasi yang semakin meruncing.

Tersorok dalam ruangan berita ekonomi New Straits Times pada 2 Julai adalah kenyataan Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz bertajuk: Zeti: Inflation likely to have hit 6-7pc in June (Zeti: Inflasi mungkin telah mencapai 6-7 peratus bulan Jun).

Zeti mengenal pasti kenaikan harga minyak, pemotongan subsidi dan faktor luar negara sebagai punca lonjakan inflasi dan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih lembap.

Kadar 6-7 peratus itu sudah pasti berupa kadar kenaikan bulanan tinggi pernah dicatatkan oleh Malaysia dalam sejarah. Sebagai perbandingan, kita ambil kadar inflasi bulan Mei sebanyak 3.8 peratus. Pada kadar itu pun, ia sudah berupa kadar kenaikan paling tinggi dalam masa 22 bulan.

Mungkin inilah juga peningkatan kadar inflasi yang paling tinggi dalam sejarah negara yang tercetus akibat dasar dua hala kerajaan iaitu mengurangkan subsidi dan menaikkan harga bahan bakar.

Soalnya apakah Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi telah benar-benar menghalusi dan memahami implikasi tindakannya memotong subsidi dan menaikkan harga bahan bakar terhadap ekonomi negara dan kebajikan rakyat jelata?

Apakah mereka yang dianggap pakar ekonomi dan kewangan dalam Pentadbiran Abdullah seperti Noor Mohamed Yackop, Mustapha Mohamad dan Senator (Tan Sri) Amirsham Abdul Aziz telah benar-benar mendalami implikasi tindakan radikal ini terhadap ekonomi dan politik negara?

Apakah Kabinet setuju sebulat suara bahawa tiada jalan lain menyelamatkan kewangan negara selain membebankan rakyat jelata dengan kenaikan besar – 41 peratus — harga bahan bakar?

Adalah tidak masuk akal kalau kerajaan tidak sedar kesan gandaan akibat kenaikan harga bahan bakar terhadap kos pengeluaran dan harga pengguna (consumer price).

Serentak itu, akibat daripada persekitaran ekonomi global yang lembap, Zeti turut meramalkan kemungkinan pertumbuhan ekonomi negara jatuh di bawah paras lima peratus.

Inilah keadaan yang sangat-sangat ditakuti di mana pertumbuhan ekonomi yang rendah tetapi kadar inflasi tinggi. Keadaan ini boleh membawa kepada apa yang dipanggil “stagflasi” (stagflation) di mana ekonomi menguncup tetapi inflasi melambung.

Soalnya, dalam suasana di mana kerajaan menghadapi pelbagai cabaran, siapakah yang akan menangani ancaman besar yang sedang dihadapi oleh negara ini?

Tidak hairanlah kalau beberapa komponen ekonomi negara sudah pun mula mempamerkan aliran yang negatif. Selain kenaikan kos pengeluaran dan harga pengguna, keyakinan terhadap ekonomi negara nampaknya semakin meruncing.

Nilai modal pasaran (market capitalisation) saham-saham di Bursa Malaysia misalnya telah merosot 21.24 peratus atau RM235 bilion sepanjang enam bulan tahun ini daripada RM1.106 trilion kepada RM871 bilion. Indeks komposit pula jatuh 24 peratus daripada puncak 1,524 mata. Pagi tadi pasaran merudum setelah tertangguh separuh hari semalah “kerana masalah teknikal.

Peranan pasaran saham sebagai barometer semasa ekonomi dan sebagai saluran pembentukan kekayaan adalah sangat penting.

Ia bukan sekadar tempat bagi syarikat swasta memperoleh modal untuk berniaga tetapi juga tempat di mana kesan kekayaan (wealth effect) diwujudkan.

Dalam bahasa yang mudah, orang yang membuat keuntungan di pasaran saham lebih rela berbelanja besar berbanding orang yang makan gaji atau hidup dengan wang pencen atau Tabung Simpanan Pekerja.

Tidak kira apa jua krisis, konspirasi dan skandal yang melanda kepemimpinan dan pentadbiran negara sekarang, kejatuhan mutakhir negara dan mala petaka kepada rakyat jelata akan berlaku jika masalah ekonomi yang meruncing sekarang gagal ditangani.

Suka tidak suka, kita terpaksa bertanya adakah kepemimpinan negara sekarang cukup diyakini oleh pelabur dalam dan luar negara, oleh pengguna dan rakyat jelata amnya.

Keyakinan adalah sangat penting kepada ekonomi sesebuah negara. Pelabur akan mengekalkan pelaburan mereka dan membuat pelaburan baru hanya jika mereka yakin dengan kemampuan pemerintahan menangani masalah yang sedang melanda.

Pengguna pula akan berbelanja lebih banyak jika mereka yakin bahawa mereka boleh memperoleh semula jumlah yang dibelanjakan itu melalui kenaikan gaji atau keuntungan perniagaan.

Pokok pangkalnya adalah keyakinan.

READ MORE HERE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s