Dakwaan meliwat: Anwar enggan jawab cadangan bersumpah

Posted by SM Maulana

Written by Erin

(Mutakhir) BUTTERWORTH: Ketika dakwaan meliwat terbaru yang dihadapi masuk minggu kedua, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menjawab soalan media berkenaan cabaran supaya beliau bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi mempertahankan dirinya dalam isu berkenaan.
Ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah perdana di sini malam tadi, beliau yang dikawal ketat oleh beberapa penyokongnya terus berlalu tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Baru-baru ini, Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Anwar dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya ‘bermubahalah’ atau bersumpah.

Beliau berkata isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.

Katanya, Anwar dan Mohd Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: “Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya.”

Pandangan yang sama juga diberikan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria yang meminta supaya bersumpah dilakukan jika tiada bukti.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berpendapat “mubahalah” atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Terdahulu, ketika memulakan ucapannya, Anwar menegaskan bahawa beliau sudah jemu bercakap dan mengulas berhubung tuduhan liwat terhadapnya.

“Seminggu yang lepas, kita telah dikejutkan dengan kisah itu (tuduhan liwat) dan saya tak nak, menyampah dan meluat dengan cerita kotor itu. Saya pernah dituduh dengan tuduhan yang sama dulu. Tuduhan daripada mereka yang kecewa dengan politik,” kata Anwar dipetik Bernama.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mencabar kerajaan membuktikan bahawa beliau ada berhubung dengan wakil dari kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk meminta bantuan daripada negara itu.

Kata Anwar, sekiranya kerajaan mempunyai bukti bahawa beliau ada berbuat demikian Ketua Umum Pakatan Rakyat itu sedia untuk tampil ke mahkamah.

“Saya tidak buat panggilan, saya tidak menulis surat dan (isterinya Datin Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) sendiri pun tidak menghubungi mana-mana pihak dari kerajaan AS. Tetapi ada beberapa pemimpin Islam dari luar negara yang menghubungi saya dan meminta saya bersabar serta mereka mendoakan keselamatan saya.

“Saya sudah beritahu saya akan hadapi perkara ini, kalau mereka (kerajaan) ada bukti, bawalah saya ke mahkamah. Saya bersedia,” kata beliau dalam ceramah perdananya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s