Kerajaan Tidak Guna Sepenuhnya Keuntungan Petronas Untuk Subsidi

TASEK GELUGOR, 6 Julai (Bernama) — Kerajaan tidak menggunakan sepenuhnya keuntungan yang diperolehi Petronas bagi menampung keperluan subsidi negara, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan syarikat itu menjana hasil termasuk melabur di luar negara dan lebih 40 peratus hasil yang disumbangkan Petronas diperolehi daripada operasi di luar negara.

“Menerusi pelaburan itu, Petronas boleh terus menyumbang kepada hasil kerajaan dalam jangka panjang walaupun simpanan minyak negara sudah habis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan bola sepak sembilan sebelah Piala Tan Sri Nor Mohamed di Sekolah Menengah Agama Al-Irsyad di Padang Sena di sini hari ini.

Katanya Petronas turut menjangkakan simpanan minyak dalam negara akan habis pada 2014, oleh itu kerajaan perlu mengurus dengan cekap hasil yang diperolehi khususnya dengan kenaikan harga minyak untuk pembangunan negara dan generasi akan datang.

“Dengan kenaikan harga minyak, kita ada satu kelebihan (hasil Petronas bertambah) tetapi kena uruskan ekonomi dengan baik supaya hasil daripada kenaikan bahan itu digunakan dengan baik, cekap dan berkesan.

“Kita tidak joli, kalau kita dok ambil duit itu (keuntungan Petronas), dan joli, dah habis dah,” katanya.

Untuk rekod, sejak beroperasi pada 1974 sehingga tahun lepas, kerajaan akan hanya menerima sebanyak RM160 bilion daripada Petronas sekiranya syarikat itu langsung tidak membuat pelaburan di luar negara.

Bagaimanapun, Nor Mohamed berkata dalam tempoh itu kerajaan memperolehi RM362 bilion daripada Petronas yang menggunakan sebahagian daripada hasil keuntungannya untuk melabur di luar negara.

Katanya pelaburan yang dibuat oleh Petronas dalam bidang minyak dan gas di luar negara adalah satu pelaburan yang baik dan keputusan yang dibuat adalah bijak.

Beliau juga berharap supaya rakyat memberi peluang kepada Petronas untuk terus berperanan pada jangka masa panjang.

“Rugi jika Petronas yang ada pengalaman tidak melabur di luar negara dengan semua untung digunakan untuk subsidi.

“Kita akan kehilangan sumber pendapatan pada jangka masa panjang,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s