Penduduk kecewa, 30 tahun tiada bekalan elektrik

Salman Hussin-Harakah Daily

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Hrkh) – Tidak siapa menduga sebuah perkampungan di pinggir bandar raya Johor Bahru yang telah wujud sejak 30 tahun lalu masih tidak mempunyai bekalan elektrik sehingga hari ini.

Kira-kira 2,000 penduduk dari 500 keluarga yang mendiami Kampung Semangat Batu 7 Tampoi, dekat sini, terpaksa menggunakan generator diesel berikutan ketiadaan bekalan elektrik di kampung tersebut.

Penduduk terpaksa mengeluarkan wang antara RM70.00 hingga RM100.00 sebulan bagi membayar kos penggunaan dua buah generator diesel yang membekalkan elektrik ke rumah penduduk.

Pengerusi JKKK kampung tersebut, Tijah Merah, ketika ditemui pada Majlis Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Bekalan Elektrik, yang diadakan di kampung tersebut baru-baru ini, memberitahu, kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini semakin menambahkan beban penduduk yang kebanyakannya berpendapatan rendah, warga emas dan ibu tunggal.

Hadir sama pada majlis ini Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas, Suhaizan Kaiat, Pembantu Khas Adun Skudai, Cheo Yee How serta lebih 200 penduduk kampung terbabit yang terdiri dari pelbagai kaum.

Menurut Tijah, kesan daripada kenaikan harga bahan api yang begitu tinggi ini juga turut menyebabkan bekalan elektrik yang menggunakan generator ke rumah penduduk dihadkan penggunaannya, kalau sebelum ini bekalan elektrik bermula jam tujuh petang hingga tujuh pagi, tetapi sekarang ini hingga jam dua pagi sahaja.

“Keadaan ini menimbulkan masalah besar kepada penduduk terutama pada waktu pagi sebab waktu itu adalah waktu yang paling sibuk bagi kami semua, ketika itulah ibu-ibu sibuk menyiapkan sarapan pagi untuk anak-anak yang bersekolah dan juga suami yang pergi bekerja, pada waktu itu jugalah anak-anak mempersiapkan diri untuk ke sekolah, ketiadaan bekalan elektrik pada waktu ini amatlah merumitkan segala urusan keluarga,”jelasnya.

Katanya lagi, penduduk sudah puas meminta bantuan daripada wakil-wakil rakyat, termasuk pemimpin-pemimpin Umno, MCA dan MIC bagi mendapatkan bekalan elektrik ini, namun dari tahun ke tahun keadaannya masih juga tidak berubah.

“Kami sangat kecewa dengan sikap pihak-pihak terbabit yang tidak bersungguh-sungguh untuk membantu kami, sebab itu kami meminta bantuan pihak lain pula untuk membela nasib kami,”tambahnya.

Sementara itu Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas, Suhaizan Kaiat, semasa berucap pada majlis yang sama mendedahkan, walau pun pada Pilihanraya Umum lalu beliau kalah di Dun Kempas, tetapi hairannya rakyat setempat terus menemui beliau bagi mendapatkan bantuan.

“Ini kerana sebelum ini rakyat sudah puas meminta bantuan daripada pihak-pihak berkenaan tetapi gagal atau langsung tidak dilayan permintaan mereka, akhirnya rakyat bertekad untuk menyalurkan permasalahan mereka kepada Pakatan Rakyat (PR) sebagai saluran alternatif rakyat,”katanya.

Suhaizan yang juga bekas calon PAS di Dun Kempas pada Pilihan raya Umum lalu, seterusnya berkata, berbagai-bagai masalah rakyat masih gagal diselesaikan wakil-wakil rakyat mereka sehingga hari ini.

Katanya, isu setinggan di zon Kempas, masalah penduduk rumah pangsa Taman Cempaka Tampoi yang memerlukan perhatian kerajaan, pertikaian membabitkan peniaga-peniaga di Tampoi, dan yang terkini masalah bekalan elektrik penduduk Kampung Semangat Batu 7 Tampoi yang tidak menikmati bekalan elektrik sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Ini merupakan sebahagian kecil masalah rakyat yang sedang kita tangani sekarang ini, sebenarnya masih terdapat banyak lagi isu yang membabitkan kepentingan rakyat sedang dalam proses untuk didedahkan sedikit masa lagi,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan berani penduduk kampung tersebut menubuhkan jawatankuasa khusus bagi mendapatkan bekalan elektrik di kampung mereka.

“Selama ini penduduk bertindak secara bersendirian sebab itu permohonan mereka tidak dilayan kerajaan, tetapi apabila semua penduduk bersatu, sudah tentu pihak-pihak terbabit akan melayan tuntutan penduduk,” ujarnya lagi. – mks. _

One thought on “Penduduk kecewa, 30 tahun tiada bekalan elektrik”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s