Rakyat sudah bosan dengan BN yang tidak telus

Johari Jaafar

Sempena dengan 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Harakah berkesempatan mengadakan temubual bersama Pengarah Urusetia Penerangan Perak merangkap Timbalan Pengerusi KeADILan Negeri, Ustaz Zulkifli Ibrahim.

HARAKAH: Bagaimana Ustaz melihat 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak?

ZULKIFLI:Saya melihat sepanjang 100 hari pemeintahan Pakatan Rakyat di negeri ini penuh dengan rintangan dan cabaran yang mendewasakan Pakatan Rakyat.

Peringkat awalnya Kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa berhadapan dengan ‘serangan’ daripada media arus perdana khususnya Utusan Malaysia. Bermula dengan isu ‘kebidapan’ DAP yang dikatakan tidak menghormati Paduka Seri Sultan Perak, diikuti dengan isu Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Serangan media arus perdana, disusuli dengan kenyataan kenyataan pimpinan BN yang menghentam DAP dengan harapan pakatan rakyat akan hancur, tetapi segala-galanya tidak menjadi, Pakatan Rakyat Perak terus utuh.

Pakatan sebegini perlu dijaga dengan baik, elakkan sebarang perselisihan yang merugikan ketiga- tiga parti, yang penting memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Jika itulah prinsip dan amalan Pakatan Rakyat, saya merasakan Pakatan Rakyat boleh pergi jauh untuk melakar kemenangan pada pillihan raya umum akan datang.

100 hari pemerintah Pakatan Rakyat mungkin sukar untuk menilai prestasinya dan khidmatnya kepada rakyat, tetapi ada sesuatu yang menarik apa yang hendak diketengahkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Apa pendapat Ustaz dalam perkara ini?

Saya amat tertarik dengan lima prinsip yang digariskan dan ianya akan diamalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Prinsip adil, beramanah, telus, berwibawa dan berkebajikan, satu nilai positif sejagat. Ianya diperjuangkan oleh manusia yang normal, ianya dipersetujui oleh ketiga tiga parti untuk menggambarkan kelainan kerajaan yang ada berbanding kerajaan BN sebelum ini.

Inilah rakyat mahu daripada sebuah kerajaan, mereka mahu keadilan itu ditegakkan tanpa mengira bangsa, dalam masa yang sama rakyat mahu pemimpin mereka terdiri dari mereka yang beramanah, bukannya yang tidak jujur dan menzalimi rakytat.

Rakyat sudah bosan dengan BN yang selama ini tidak langsung telus dalam banyak hal. Rasuah, ketidakjujuran, korapsi, amalan kronisme adalah menjadi budaya BN. Oleh itu apabila Kerajaan Pakatan Rakyat mengenengahkan lima prinsip tersebut, rakyat mula menaruh harapan dan kepercayaan yang tinggi kepada Pakatan Rakyat.

Ini maknanya Pakatan Rakyat jangan buat salah, jangan buat kesilapan yang BN lakukan dahulu, begitu?

Ya. Itulah harapan rakyat, itulah yang rakyat harapkan kepada kerajaan yang baru. Jika Kerajaan Pakatan Rakyat melakukan rasuah, ketidakadilan, pemimpin pemimpinnya sombong, tidak mesra rakyat, mengumpulkan kekayaan dan mementingkan diri sendiri, mereka tidak mempercayai kepada Pakatan Rakyat lagi kerana kedua-dua sama sahaja, kerana itu apa gunanya rakyat memilih Pakatan Rakyat?

Jika perangai pemimpin Pakatan Rakyat sama sahaja dengan pemimpin BN,yang tidak mesra , melakukan pelbagai kesalahan, rakyat akan tidak akan menghormati Pakatan Rakyat lagi kerana mereka berangapan BN dan Pakatan Rakyat serupa sahaja.

Dalam pilihan raya umum ke-12 lalu calon calon KeADILan dan PAS tidak mampu meraih kemenangan di kawasan majoriti orang Melayu, berbanding di kawasan yang pengundinya bercampur dengan bukan Melayu. Jadi apakah langkah yang wajar dilakukan untuk mendapat sokongan penuh dari pada orang Melayu di kawasan majoriti masyarakat Melayu agar Pakatan Rakyat boleh mencapai dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak pada pilihan raya umu ke 13 nanti?

Pertamanya kita perlu kuatkan gerak kerja, tubuhkan seberapa banyak cawangan dan tarik lebih ramai masyarakat Melayu bersama dengan kita. Majlis penerangan perlu diadaakan. Paling penting calon calon kita yang kalah itu wajar meneruskan aktiviti mendampingi pengundi, mendengar keluhan dan masalah penngundi.

Sikap mesra pengundi mesti dilakukan dari sekarang. Saya yakin jika ini dilakukan, pada pilihan raya umum akan datang matlamat untuk mendapat dua pertiga kemenangan boleh tercapai.

Jika kita lihat DAP telah mencapai kemenangan maksima, bertanding 18 kerusi dan menang kesemuanya; KeADILan bertanding di 18 kerusi Dun, cuma menang 7; begitu juga PAS menang 6 daripada 21 kerusi yang tandingi.

PAS dan KeADILan kena kerja keras dari sekarang. Tidak ada masa untuk rehat. PAS dan KeADILan mesti mendapat sokongan padu dari orang Melayu. PAS mesti menjadi parti alternatif kepada orang Melayu bagi menggantikan Umno, dengan itu orang Melayu tidak lagi bimbang untuk menyokong PAS. Begitu juga KeADILan, mesti mampu parti alternatif kepada orang Melayu untuk menggantikan Umno

Paling penting Kerajaan Pakatan Rakyat mesti menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam memerintah negeri ini, Jangan melakukan amalan amalan yang tidak sihat seperti yang BN lakukan sebelum ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat. mesti benar benar telus, amanah dalam menguruskan negeri. Jangan jadi seperti BN yang menjaja slogan bersih, cekap dan amanah tetapi hakikatnya pemimpin pemimpin BN melakukan rasuah, tidak amanah. mementingkan diri dan mengaut keuntungan untuk peribadi, keluarga dan mengamalkan kronisme

Jika dalam tempoh sepenggal ini Pakatan Rakyat berkuasa, amalan amalan tidak sihat tidak dilakukan, pentadbiran benar benar bersih dan telus, mengadakan beberapa perubahan seperti boleh mengurangkan cukai tanah , cukai pintu dan kadar tarif air, rakyat pasti akan terus memberikan padu kepada Pakatan Rakyat, Ketika itu nanti peluang BN hendak berkuasa semula amat tipis

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak mendokong konsep negeri berkebajikan. Dalam masa yang sama kemungkinan kerajaan negeri terpaksa berjimat cermat kerana peruntukan yang dahulunya diterima dari Kerajaan Pusat mungkin kini tidak diberikan terus kepada Kerajaan Negeri. Bagaimanakah Ustaz melihat Kerajaan Negeri boleh berperanan untuk melaksanakan program kebajikan kepada rakyat?

Saya kira kerajaan negeri masih mampu melaksanakan program kebajikan untuk rakyat. Umpamanya baru baru ini kerajaan negeri telah memperuntukan RM 1 juta untuk membantu golongan miskin tegar dan ibu tunggal dengan pemberian beras, gula, minyak masak dan wang tunai kepada 5,000 orang miskin tegar di seluruh negeri Perak.

Konsep perbelanjaan berhemah boleh dijalankan oleh kerajaan negeri, menilai kembali perbelanjaan kerajaan negeri, mana yang boleh dikurang, perlu dikurang, begitu juga yang wajar dipotong perlu dipotong.

Langkah Kerajaan Negeri yang tidak menggantikan kereta kereta untuk Exco-exconya dan Menteri Besar walaupun sesetengah kereta itu perlu ditukar yang baru kerana sudah berusia lima tahun dan jumlah perjalanannya ada yang sudah mencatat 300,000 kilometer, adalah tindakan yang betul untuk berjimat cermat.

Kerajaan Negeri yang ada sekarang mestilah menjadi pelindung kepada rakyat, pembela kepada golongan yang tertindas dan dizalimi sebelum ini, membantu rakyat yang susah dan memerlukan bantuan. Jika ini dapat dilakukan konsep negara berkebajikan itu benar telaksana di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Proses pemilihan ketua kampung sedang berjalan di seluruh negeri. Dalam masa Umno juga mengwujudkan ketua kampung persekutuan. Ini bererti ada dua ketua kampung dalam satu kampung. Ianya dilihat satu perancangan Umno untuk memecahbelahkan penduduk kampung. Apa komen Ustaz?

Pemilihan ketua kampung adalah dibawah bidang kuasa kerajaan negeri. Tindakan kerajaan negeri yang menyerahkan kepada penduduk kampung untuk memilih ketua kampung adalah adil dan mencerminkan ketelusan kerajaan negeri. Pemilihan ketua kampung telah pun berjalan.

Kita berharap ketua kampung yang telah dipilih dapat memikul tanggongjawab dengan baik dan dapat menjadi penghubung antara kerajaan negeri dengan rakyat.

Saya melihat satu usaha untuk memecahbelahkan rakyat telah dilakukan oleh Umno, apabila melantik semula ketua ketua kampung yang telah meletakkan jawatan untuk dilantik semula ketua kampung persekutuan.

Akan terjadi nanti orang Umno pergi mendapatkan bantuan dari Ketua Kampung Persekutuan yang juga ahli Umno. Sepatutnya ini tidak terjadi kerana kerajaan negeri telah memilih ketua kampung, ketua kampung yang telah dipilih oleh penduduk kampung inilah yang wajar menjalankan tugasnya.

Sebenarnya Umno masih lagi hendak berkuasa. Kerana itu ketua ketua kampung persekutuan mesti diwujudkan, jika tidak mereka akan hilang kuasa di peringkat rakyat bawahan. Untuk mengekalkan kuasa, ketua kampung persekutuan diwujudkan dengan memberikan imbuhan.

Saya bimbang ini akan menimbulkan suasana dan keadaan yang kurang baik, penduduk kampung yang akan menjadi mangsa. Usaha untuk mengwujudkan suasana harmoni di kalangan penduduk kampung mungkin terencat dan perpaduan yang ingin dilaksanakan di kalangan rakyat juga mungkin terhalang. Sepatutnya Kerajaan Pusat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Kelantan

Akhir sekali apakah yang Ustaz harapkan dari Kerajaan Pakatan Rakyat?

Sebagai rakyat saya berharap Kerajaan Pakatan Rakyat akan memberikan khidmat terbaik kepada semua rakyat tanpa mengira bangsan dan agama. Saya amat mengharapkan kerajaan yang ada menjadi seperti `seorang ayah kepada anak-anaknya (rakyat).

Tugas seorang ayah ialah berlaku adil kepada semua anaknya, bertanggungjawab dan mengasihani anak anaknya.

Begitulah juga kerajaan, sifat seorang ayah itu mesti ada kepada sebuah kerajaan. Saya mengharapkan Kerajaan Pakatan Rakyat memiliki sifat seorang ayah yang pengasih kepada rakyatnya. – mks. _

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s